TLIAS4
Image credit: Pitapat Theatre.

Memori Menonton “Two Lines In a Square”: Penjara Bahasa dan Sang Tahanan Bebas Separa

Azrin Fauzi mengulas "Two Lines in A Square", persembahan yang dilancar di Taipei dan Kuala Lumpur dari dua perspektif berbeza.

Saya lupa yang ini ialah teater Cina pertama yang saya tonton. Dan saya lupa yang saya tidaklah pandai berbahasa Cina. Hanya mampu mendengar tanpa memahami kata-kata Mandarin yang ditutur. Sambil membaca sarikata Inggeris yang terpapar. Sambil mangamati aksi-aksi yang serba-serbi mengena, serba-serbi bermakna.

Bermula dengan seorang gadis menolak kerusi roda datuknya yang lumpuh masuk ke dalam ruang performans—seakan-akan beban yang sedang dibawanya masuk untuk dipersembahkan kepada audiens. Beban ingatan, beban cerita-cerita luka. Kerana ingatan dan cerita-cerita luka inilah yang menjadi monolog si datuk yang akan dikongsi kepada kita. Lalu si cucu pun menanggalkan sepasang kasutnya seraya mengangkat dengan kedua-dua belah tangan untuk diletakkan di bawah meja—kini berkaki ayam, kita nampak yang ia ingin berjejak.

Two Lines In a Square ialah sebuah teater kolaborasi tiga negara yang sedikit sebanyak bereaksi dengan apa yang dikatakan pascamemori. Dan reaksi mereka adalah dalam gestur-gestur tenang lagi senyap yang tidak tergesa-gesa. Si datuk (lakonan Seng Soo Ming, dari Malaysia) trauma dan masih bingung akan kehilangan abangnya dalam suatu rusuhan; turut kehilangan anak lelakinya dalam usaha dia mengkaji tentang rusuhan yang telah mengorbankan pakciknya itu. Si cucu (lakonan Ora, dari Singapura) pula kehilangan ayah iaitu seorang sejarawan yang ditangkap atas usahanya mendedahkan luka lama rusuhan tersebut. Dan si ibu (lakonan Li-Chuan Lin atau Aki, dari Taiwan) kehilangan suami iaitu sejarawan yang ditangkap sebelum sempat melihat anak perempuannya lahir. Selain sesekali disampuk oleh suara kecerdasan buatan (AI)—yang serba tahu tetapi tidak pernah memahami—daripada jam tangan pintar si cucu.

Image credit: Pitapat Theatre.

Berbeza dengan memori dan sejarah, pascamemori atau apa yang Marianne Hirsch jelaskan: “Pascamemori dibezakan dengan memori menerusi jarak generasi, dan dengan sejarah pula menerusi hubungan peribadi yang mendalam.”¹ Sepanjang performans, kita tidak diberitahu langsung secara rinci akan peristiwa rusuhan yang sedang disentuh—rusuhan yang mana? Tambahan lagi, peristiwa yang menjadi “titik nol” ini berulang-alik antara monolog si datuk dengan monolog si cucu; di sela-selanya ada “udang kara” dan “paus” dan “musim dingin” yang sangat berhawa ke-Taiwan-an.

Daripada “ulang-alik” monolog-monolog inilah yang akan menghadapkan audiens kepada trauma kolektif, kepada pengalaman (kehilangan) generasi sebelum yang “diingati,” kepada pascamemori. Dikukuhkan lagi dengan aksi-aksi meyakinkan oleh si datuk dengan bangkunya, dan aksi-aksi si cucu dengan mejanya sewaktu mereka sedang bercerita. Kita percaya tatkala Seng Soo Ming “mengayuh basikal” dengan bangkunya, dan kita percaya bilamana Ora menyelongkar satu persatu “hasil kajian” ayahnya di atas meja di dalam “bilik kerja” ayahnya itu (yang berkali-kali dilarang masuk oleh ibunya). Rata-rata audiens—sepertimana si cucu—selaku generasi paling jauh dengan peristiwa “titik nol” ini meski tidak lagi menerima apa-apa yang berkait terus dengan peristiwa tersebut seterusnya telah terbina “hubungan peribadi yang mendalam” pula, tetap boleh mengagak-agak, tetap boleh menjejak. Performans telah tawarkan imaginasi dan beri ruang kepada audiens untuk berimaginasi.

Teater ini tebal monolog. Ada pergelutan komunikasi bukan sahaja antara audiens dengan para pelakon menerusi jungkir balik naratifnya—untuk saya sendiri dek bahasanya—malahan antara sesama watak-wataknya (kerana masing-masing berada dalam realma atau ruang berbeza); masing-masing bergelut untuk memahami (kerana masing-masing juga datang dari generasi atau waktu berbeza).

Tatkala si datuk bercerita, dia mengimbau-ngimbau dari masa lalu ke masa sekarang kepada kita selaku audiens. Tatkala si cucu pula yang bercerita, dia menggeledah cerita bersama-sama kita selaku audiens dari masa kini ke masa lampau. Meski kedua-dua pelakon berada di dalam ruang fizikal yang sama, tetapi kerana tidak pernah langsung berinteraksi sesama mereka sepanjang performans (melainkan di penghujung sahaja apabila si datuk menyerahkan topinya kepada si cucu), sepertinya mereka masing-masing di dalam ruang dan waktu yang lain. Titik temu mereka pun hanya menerusi monolog yang adakalanya hampir sama: yang menganggap diri masing-masing persis paus yang kesepian di lantai lautan, dengan hanya mendengar gema sendiri yang berulang-ulang datang kembali. Lebih-lebih lagi sebagai datuk yang dikatakan “lumpuh”, Seng Soo Ming dengan begitu lincah sekali mengaksikan setiap cerita-ceritanya sejak dari awal performans lagi! Adakah si cucu hanya menolak kerusi roda kosong sedari mula performans tadi? Membawa masuk—bukannya semata-mata memori dan sejarah tetapi—beban kehilangan yang masih belum difahami? Yang gema traumanya berulang-ulang menghantui lagi dan lagi?

Kata si ibu, berulang-ulang kali mengingatkan: “Orang-orang yang masih hiduplah yang paling penting.” Pancaran wajah Li-Chuan Lin atau Aki sebagai si ibu pada plastik lutsinar yang telah renyuk adakalanya mengganggu, membuat saya tertanya-tanya: mengapa tidak secara langsung dari Taiwan? Mengapa hanya rakaman? Sebelum perlahan-lahan memaknai alami rakaman itu sendiri yang boleh diulang-ulang persis ingatan. Kerana nampak anak gadisnya mulai menjadi seperti ayahnya, dia menyedari tiada apa lagi yang harus dilarang. Dia tinggalkan anak gadisnya itu untuk bersama dengan suaminya semula. Rakaman yang dipapar dan diperdengar merakam pergelutan komunikasi ini; memaparkan usaha untuk meruntuhkan batas-batas realma dan generasi ini—untuk memahami.

Image credit: Pitapat Theatre.

Two Lines In a Square benar-benar disokong multimedia yang mengesankan; benar-benar memberi kedalaman dimensi, juga meneroka kedalaman emosi. Siapa sangka imej koridor di dalam hospital yang dipancarkan oleh projektor ke arah dinding putih boleh menjadi suatu adegan yang menyayat hati? (Walaupun jauh di sudut hati, saya menginginkan adegan ini diteroka dengan lebih mendalam lagi daripada apa yang dipersembahkan sebenarnya.) Dengan bayang hitam si cucu dan kerusi roda yang menindih cahaya imej pada dinding tersebut menjadikan mereka kelihatan seakan-akan di dalam ruang yang sama. Meski kita tahu imej koridor ini sedang menjadi jalan bayangan buat si datuk (untuk/yang telah) ke alam di sebelah sana.

Sinografinya begitu dinamik dalam menjelmakan perih trauma dan beban kehilangan. Sebuah dinding yang disaratkan surat khabar lama yang sedari awal lagi dilitup dengan tirai hitam didedahkan oleh si cucu kepada audiens di pertengahan performans; menjadi suatu pernyataan dengan sensasi visualnya. Dan rekaan set ini tidak kaku sebagai latar semata-mata buat si datuk yang sedang bermonolog, bahkan dihibakan lagi bilamana si cucu pula yang bermonolog berlatarbelakangkan bunyi kertas yang perlahan-lahan dikoyak oleh si datuk mirip orang tua yang sudah hilang arah (sudah sampai masanya menyerah?); menjadi suatu pernyataan dengan sensasi audionya pula. Sebelum menyedari apa-apa yang di balik dinding segala liputan berita itu hanyalah legap hitam—ketiadaan. Kualiti kekertasan ini juga dilihat prominen dalam upacara orang-orang Cina yang membakar objek-objek daripada kertas untuk ‘disampaikan’ kepada mereka yang telah mati; juga prominen dalam dunia seorang penulis—untuk menyampaikan.

Justeru, apa lagi yang boleh disampaikan? Apa lagi yang boleh ditulis dan diadakan daripada ketiadaan ini? Kerana watak si cucu ialah seorang penulis, langsung mengingatkan kepada rata-rata teater dan filem yang ditonton sejak kebelakangan ini yang sering terpesong dalam menjelmakan persona seorang pengarang. Rata-ratanya cenderung untuk stereotaip dan terlalu superfisial yang langsung menimbulkan rasa ralat kerana yang cuba menghidupkan persona pengarang ini asalnya bermula daripada sosok penulis skripnya juga (yang semestinya seorang pengarang). Barangkali kegagalan pertama bilamana penulis skrip itu sendiri awal-awal lagi telah gagal menjadi seorang Pengarang—yang bergelut dengan bahasa. Dan ini tidak berlaku dalam teater ini; kita percaya dengan obsesi si cucu. Dan ini tidak berlaku kepada teater ini; kita percaya akan apa-apa yang ditutur dan diaksikan oleh mereka—yang faham bahasa, yang cinta akan bahasa. (Mengingatkan saya kepada Teater Normcore: Stereo Genmai yang turut menampilkan watak seorang penulis tidak lama dahulu.)

Performans yang berlangsung hanya sejam ini terasa padat dan berat walau dibawa secara tenang lagi senyap yang tidak tergesa-gesa. Dikhabarkan teater ini akan dipentaskan dalam dua lokasi berbeza—di Kuala Lumpur dan di Taipei (dengan judul The People In a Square²). Dengan cerita serupa tetapi dihadapkan dari sudut pandang berbeza dan seterusnya akan beroleh pengalaman berlainan—lain-lain interpretasi. Beritahu seorang teman, “人 (rén) itu orang manakala 囚 (qiú) itu banduan atau sang tahanan.” Dan apa lagi yang lebih melegakan: sepanjang berada dalam cerita “segi empat sama” bersama dengan mereka, kita sedang dibebaskan. Kalaupun tidak sepenuh-penuhnya. Kalaupun hanya separuh-separuh—hanya separa.

Cerita mereka (dalam bahasa Mandarin) sepertinya sudah sekian lama menjadi penjara dan saya semahu-mahu mengambil kunci (sarikata Inggeris) yang diberikan untuk masuk ke dalamnya, untuk bebas di dalamnya! Saya lupa yang teater sentiasa melangkaui apa-apa yang dibaca. Dan saya lupa yang ini ialah teater Cina pertama yang saya tonton. Tetapi saya ingat—saya betul-betul ingat dan saya percaya—ini bukanlah yang terakhir.

¹Terjemahan oleh pengarang. Petikan asal dalam Bahasa Inggeris: “In my reading, postmemory is distinguished from memory by generational distance and from history by deep personal connection.” Marianne Hirsch, Family Frames: Photography, Narrative, and Postmemory (Harvard University Press, 1997), ms. 22.

²Separa kedua teater ini pula, The People In a Square telah dipentaskan di Taiwan pada 11 hingga 13 November 2022 baru-baru ini.

Two Lines In a Square bikinan produksi Pitapat Theatre telah dipentaskan di Now Theatre, Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 November 2022 yang lalu. Tulisan ini berdasarkan memori menonton pementasan pada 5 November 2022.

About the author(s)

Azrin Fauzi

Azrin Fauziwrites essays on arts and culture. He was a recipient of the Selangor Literary Prize (2017, 2018, 2019, and 2021). In 2019, he co-curated Pesta Playlet, organised by Ensembel Teater Kaos Nol; and was selected to represent Malaysia in MASTERA Writing Programme: Essay in Bandung, Indonesia, organised by Southeast Asia Literary Council (MASTERA). He is also the author of three short story collections:Urban(2015),Metaskandal(2018), andAmok-Imago(2022).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top