MTJIT
Via The Star

Jit Murad: Imaginasimu Akan Buat Kami Tersenyum

Walaupun saya bergiat di dalam bidang teater di Malaysia, saya bukan kawan Jit Murad. Perbezaan praktis, latar belakang dan generasi menjadi jurang antara kami. Mungkin beliau juga tidak mengenali saya. Mungkin. Banyak perbezaan antara kami dan mungkin inilah yang menjadikan peluang untuk kami bertembung di lapangan yang sama, tipis. Melihat rakan-rakan seniman yang lain menceritakan pengalaman bekerja dengan beliau, menonton persembahan beliau, berbual dan bergurau senda dengan beliau membuatkan saya seperti kekurangan sesuatu. Saya hanya dapat mengamati beliau dari jauh dan mencari suara-suara beliau di celah karya-karyanya yang semakin lama sukar dicari. Ketika tulisan ini ditulis, penulis, pelakon dan pengarah veteran Malaysia Jit Murad telah meninggalkan kita semua pada 12 Februari 2022 pada usia 62 tahun.

Pertemuan saya dengan beliau hanya sekadar untuk mendapatkan tandatangan beliau pada tahun 2017, setelah saya membeli koleksi skripnya yang diterbitkan oleh Matahari Books. Buku itu dibeli selepas satu tayangan rahsia filem daripada karya pentingnya iaitu Spilt Gravy on Rice, sebuah komedi gelap tentang seorang patriak yang meningkat usia bersama lima anaknya yang berlainan ibu, arahan dan adaptasi Zahim Albakri – juga pada tahun yang sama. Filem itu masih belum diberi tayangan umum di Malaysia sehingga kini walaupun telah dikeluarkan pada tahu 2015. Saya tidak pasti mengapakah ia masih belum ditayangkan. Ada ura-ura mengatakan potongan akhir filem itu diganggu satu lembaga – Lembaga Penapis Filem. Saya tidak tahu dan tidak dapat mengesahkan.

Itulah kali pertama juga saya menikmati hasil karyanya. Kali kedua adalah melalui pembacaan naskhah-naskhah drama yang ditulisnya melalui buku Jit Murad Plays, koleksi skripnya yang saya beli pada malam tersebut. Kali ketiga pada tahun 2019 ketika menonton pementasan revival Gold Rain & Hailstones, sebuah cerita tentang empat orang muda yang pulang ke Malaysia dari Amerika Syarikat, arahan Gavin Yap terbitan Instant Cafe Theatre. Versi revival itu juga dikatakan agak berbeza dengan yang asal yang dipentaskan pada tahun 1993 di British Council. Versi Yap, yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) sempena sambutan ulang tahun Instant Cafe yang ke-30, menggunakan empat pelakon (Farah Rani, Ghafir Akbar, Redza Minhat dan Sharifah Amani) dan penataan sinografi yang amat gah. Daripada pembacaan, pementasan pertama, yang diarah oleh Zahim Albakri juga, menggunakan dua pelakon sahaja iaitu Jit sendiri yang memainkan watak Man dan Jay, serta Lin Jaafar sebagai Amy dan Nina, dan set dan penataan sinografi yang ringkas.  

Ketika pertemuan saya dengannya pada tahun 2017, fizikalnya sudah tidak sama seperti yang saya pernah lihat di kaca TV tapi beliau tetap ceria melayan rakan dan peminat termasuk saya dan isteri. Tidak banyak pun yang dapat dibuat. Pada malam itu, selain filem tersebut, sudah tentu Jit adalah tarikan utamanya. Ramai orang datang bertemu beliau bertanya khabar dan berbual ringkas. Saya sekadar dapat tandatangan dan bergambar sahaja. Begitulah jika hendak dijelaskan bagaimana jarak perkenalan dan pertemuan saya dengan Jit Murad.

Tandatangan dan pesanan Jit untuk Fasyali.

Sebagai penggiat teater generasi yang lebih muda, saya mengenali beliau agak lewat. Walaupun saya mendapat pendidikan teater secara formal di universiti, silibus pada ketika itu tidak mendedahkan saya kepada karya-karya beliau dan generasi sezamannya. Kami lebih menumpukan kepada karya-karya berbahasa Melayu dan sumbangan penulis yang lebih awal daripada beliau dan rakan seangkatannya. Hanya selepas saya tamat belajar, saya terdedah dengan nama-nama dramatis yang turut mencorak perkembangan teater Malaysia seperti Kee Thuan Chye, Leow Puay Tin, KS Maniam, Huzir Sulaiman, Mark Teh dan ramai lagi. Itupun atas kesedaran sendiri untuk mengambil tahu kegiatan teater tempatan. Disebabkan jalur perkembangan teater dan drama yang sekumpulan penggiat teater ini berlainan dengan jalur perkembangan teater kebangsaan yang hanya menumpukan kepada drama bahasa kebangsaan, saya agak lewat mengenali Jit Murad dan karya-karyanya.

“I nak you buat rambut macam Jit Murad, senyum macam Jit Murad,” kata isteri saya. Katanya lagak saya seperti Jit Murad. Sudah tentu persona ini isteri saya cerap melalui tontonannya terhadap Jit di kaca TV. Selain terlibat dalam seni pentas, Jit juga aktif berlakon untuk TV seperti Ah-Ha, Dunia Rees dan Ina, dan Neon, dan filem seperti Talentime (2009), Selubong (1992), Mat Gelap (1990) dan banyak lagi. Walaupun isteri saya melihat persamaan antara kami, tapi saya melihat banyak perbezaan antara kami. Isteri saya melihat persamaan antara kami kerana kedua-dua kami terlibat dalam teater dan mempunyai gaya rambut dan senyuman yang lebih kurang sama. Pada saya Jit lebih tajam pemikirannya, lebih lucu, lebih cakna dan lebih berani. Dia membawa semangat jiwa yang bebas dalam karya-karyanya. Bebas sebagai Melayu yang mempunyai hak keistimewaan di Malaysia tetapi peka dengan hak yang dimilikinya itu. Beliau tidak sewenang-wenangnya menggunakan kelebihan yang dimiliki untuk menyindir sebarang orang atau masyarakat. 

Ada orang menyamakan Jit dengan Noel Coward, seorang dramatis Inggeris. Dialog-dialognya dan bagaimana Jit melihat masyarakatnya mempunyai ciri yang sama dengan karya-karya tulisan Coward. Namun, saya melihat karya-karya Jit mempunyai pertalian dengan dramatis realisme tempatan seperti Bidin Subari yang aktif menulis sekitar 1960an. Kedua-dua mereka banyak menghasilkan karya komedi yang mendedahkan realiti sosial dan masyarakat di bandar. Sudah tentu nada dialog dan humor mereka berbeza tetapi kedua-duanya memposisikan diri mereka sebagai penulis yang berani mendedahkan hipokrasi dan isu-isu yang terkait dengan pemikiran Melayu zaman mereka. Namun, Jit telah lebih berani membawa isu-isu yang lebih personal dan intim, membincangkan persoalan identiti individu vs sosial, konservatif vs liberal, persoalan-persoalan tabu dalam masyarakat Melayu. Jit bersekutu dengan watak-watak terpinggir dari segi identiti kaum, jantina dan sebagainya, seperti Amy (nama penuh: Aminah) dalam Gold Rain & Hailstones dan Husni dalam Spilt Gravy on Rice. 

No photo description available.
Image: The Instant Café Theatre Company Facebook Page

Sebagai penggiat teater juga, saya sering membandingkan diri saya dengan seniman tempatan terdahulu. Mencari bagaimana mereka memposisikan diri mereka dalam masyarakat. Melalui karya-karyanya, kita dapati Jit mengakui dan menyuarakan keresahan-keresahan dirinya sebagai Melayu yang berpendidikan, mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh dan segala keistimewaan lain. Namun, beliau dengan berhati-hati menggunakan keistimewaan yang dimiliki itu untuk tidak disalahguna – perkara yang paling besar saya belajar daripada penulisan beliau. 

Kita boleh memposisikan Jit dalam kumpulan dramatis Melayu yang lain seperti Bidin Subari, Noordin Hassan, Syed Alwi, Zakaria Arifin dan yang lain-lain – melihat kesinambungan bagaimana isu-isu kaum Melayu dibawa ke atas pentas. Tetapi Jit mengeluarkan dirinya dari liga ini. Jit tidak hadir melalui legasi yang ditinggalkan oleh dramatis Melayu yang lain. Jit muncul dengan keaslian suaranya yang tersendiri. Jit juga bukan generasi yang terkesan langsung dengan tragedi 13 Mei. Rusuhan kaum yang berlaku disebabkan struktur masyarakat yang tidak seimbang ini mengakibatkan kaum Melayu pada ketika itu ketinggalan dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Lantaran itu, dramatis terdahulu banyak meneroka isu dan tema yang mahu menganjak pemikiran Melayu yang lebih berdaya saing dan memberi impak terhadap pembentukan negara. Namun Jit tidak memberikan reaksi terhadap kesan langsung tragedi tersebut — ini jelas dapat diperhatikan melalui karya-karyanya. Yang lebih menjadi tumpuan Jit dalam karya-karyanya adalah kesan-kesan sampingan polisi-polisi yang dilaksanakan selepas tragedi itu iaitu Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang bertujuan untuk mengimbangi penguasaan dan memperkukuh ekonomi kaum Melayu dan juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang bertujuan untuk membina identiti budaya masyarakat Malaysia yang majmuk supaya masalah perkauman dapat diatasi. 

Di dalam karya-karya Jit, walaupun tidak memberikan sebarang komentari secara jelas terhadap kesan sampingan dasar-dasar ini, namun dapat dirumuskan bahawa ia mempunyai kelemahan dan tidak dapat menyelesaikan semua masalah secara menyeluruh. Sehingga kini, DKK yang bertujuan dapat membina identiti masyarakat yang kukuh dan jelas masih lagi dilihat sebuah dasar yang tidak menyeluruh. Bagaimana watak ‘Melayu celup’ dalam karya-karya Jit dapat diposisikan selari dengan DKK?

Begitu juga dengan latar masyarakat dalam karya-karya Jit. Dapat disimpulkan bahawa watak-watak yang ditulis adalah watak-watak yang menerima manfaat daripada DEB. Melayu kaya dan berpendidikan. Dengan pendidikan ini juga membuatkan watak-watak dalam karya Jit mempunyai suara yang dulu dibungkam dengan kemunduran ekonomi. Beginilah saya melihat bagaimana Jit memberi respon terhadap dasar-dasar yang membentuk Malaysia moden. Jika naskhah ini ditulis lewat kebelakangan ini, tentu sejumlah perkataan M40 dan T20 akan diletakkan di celah-celah dialognya bagi menjelaskan latar watak, dan sosio ekonominya. Isu sosio ekonomi inilah yang menjadi bahan ketawa untuk Jit, melalui lawak jenakanya yang tersendiri. 

Kini Jit sudah tiada. Lama sebelum pemergiannya lagi, tiada karya-karya baharu yang dapat saya dan seniman sezaman nikmati dan tonton. Yang kami temui adalah tulisan-tulisan mengenai pementasan-pementasan lalu, kisah rakan-rakan seniman yang pernah bekerja dengannya, cerita tentang kearifannya dalam berjenaka dan ketajaman mindanya. Namun drama-dramanya akan tetap meninggalkan legasi yang panjang untuk generasi seterusnya. Sepanjang minggu setelah pemergian Jit, ramai rakan-rakan menulis tentang Jit – personaliti dan karya-karyanya. Membaca tulisan-tulisan mereka juga menjadi satu cara penggiat teater generasi muda mengenali Jit. 

Nama Jit akan tetap terpahat dalam sejarah teater Malaysia sebagai dramatis yang pernah resah tentang negara dan bangsanya. Saya kira, Jit telah memberi jalur alternatif untuk melampiaskan resah dengan berjenaka. Jit juga mengajar saya bahawa menjadi Melayu di Malaysia yang dilimpahi banyak keistimewaan, perlulah menggunakan keistimewaan itu dengan sebaiknya – jangan tertawakan orang lain selain diri kita sendiri. Buka mata dan cakna. Terima kasih Jit atas segala inspirasi untuk generasi muda yang juga sentiasa resah. Imaginasimu akan sentiasa buat kami tersenyum.

Untuk bacaan lanjut:
Catatan di Facebook oleh Pang Khee Teik
‘My tribute to Jit Murad, for The Star’ oleh Niki Cheong


Versi artikel ini di dalam Bahasa Inggeris boleh didapati di sini.

Fasyali Fadzly adalah pengarah teater, penulis drama, pengkritik, penyelidik dan pensyarah dari Kuala Lumpur.

About the author(s)

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah, dramatis, penyelidik dan pendidik yang bergiat di Kuala Lumpur sejak awal tahun 2003. Beliau telah menulis dan mengarah lebih 20 buah teater. Pada tahun 2014, Fasyali dianugerahkan Pengarah dan Penulis Terbaik dalam Boh Cameronian Arts Award. Teaternya pernah dipentaskan di Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Indonesia, Singapura, Canada dan Republik Czech selain jemputan menjadi panel untuk acara dalam dan luar negara. Beliau turut menulis artikel berkaitan teater dan diterbitkan dalam majalah dan portal tempatan serta antarabangsa. Selain itu, beliau merupakan salah seorang penyelidik bagi projek arkib teater Malaysia, My Art memory Project sejak tahun 2017. Fasyali kini berkhidmat di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top