fbpx
Thinking and Talking about Arts and Culture in Southeast Asia

Merantau Sejarah/Identiti Selat Melaka: Name Laundering oleh Irwan Ahmett dan Tita Salina

Views: 371
Oleh Fasyali Fadzly
(1,150 patah kati, 6-minit bacaan)

Jauh perjalanan, luas pandangan. Mungkin itulah prinsip yang diambil oleh dua orang seniman Jakarta, Irwan Ahmett dan Tita Salina apabila mengambil keputusan untuk menjalankan kajian sosial dan artistik selama 10 tahun menjejaki negara-negara Lingkaran Pasifik. Setelah lima tahun kajian dibuat, mereka telah menjelajah ke beberapa negara di rantau Asia Tenggara, Jepun, Chile, New Zealand dan banyak lagi. Pasangan duo dengan latar belakang rekaan grafik telah memutuskan untuk menggunakan pengangkutan darat dan laut sahaja sepanjang kajian ini dibuat sekaligus menyatakan prinsip aktivisme terhadap isu alam sekitar.

Pada Januari tahun ini, Name Laundering dipersembahkan di Yamaguchi selain karyanya Constellation of Violence dipersembahkan di acara Tokyo Performing Arts Meeting (TPAM) pada bulan Mac. Terkini, sebagai sebahagian daripada rangka kerja mereka, pasangan ini telah dijemput ke Bangkok International Performing Arts Market (BIPAM) untuk menyertai siri syarahan di sana. Daripada Jakarta, mereka telah singgah di Kuala Lumpur untuk mementaskan Name Laundering di Five Arts Centre. Persembahan terhad sehari ini telah dibuat pada 11 Oktober 2019 juga merupakan satu inisiatif yang diusahakan Five Arts Centre untuk membina rangkaian kesenian dengan seniman dari negara-negara ASEAN. 

Name Laundering dipersembahkan dalam format persembahan syarahan (lecture performance). Mark Teh, salah seorang ahli Five Arts Centre juga semasa memperkenalkan mereka di awal persembahan menyatakan tentang format persembahan mereka berbentuk esei persembahan (essay performance). Kedua-duanya pada saya membawa makna yang lebih kurang sama. Saya masih tidak menemui perkataan yang lebih sesuai untuk mendefinasikan persembahan mereka lantaran format ini tidak banyak diterokai oleh seniman di Malaysia. Meskipun format persembahan syarahan ini telah lama digunakan di Malaysia, namun padanan Bahasa Melayu untuk format persembahan ini meminjam daripada Bahasa Inggeris. 

Adegan dibuka dengan Tita memotong sedikit rambut Irwan, manakala Irwan mengeluarkan rumput kering (atau tanah gambut?) daripada bekas kecil dan meletakkan di atas piring. Rambut dan rumput kering dibakar seolah-olah ia sebuah upacara ritual dalam persembahan ini. Kemudian tayangan klip video filem hitam putih dengan adegan Hang Nadim dibawa pergi secara paksa oleh pegawai istana, diikat dan dicampakkan ke laut. Tita kemudiannya memberikan rumusan cerita dan sedikit latar belakang tentang kisah ini untuk memberi konteks kepada penonton.

 

Name Laundering adalah satu pembentangan idea dalam bentuk persembahan untuk memasuki Singapura tanpa melalui pintu kawalan imigresen. Rancangan ini dibuat disebabkan Irwan sering ditahan pihak imigresen Singapura sedangkan Tita sering sahaja lepas dengan mudah. Nama Irwan yang ‘kotor’ dalam senarai imigresen Singapura mahu dibersihkan. Disebabkan hal ini, Irwan bersumpah untuk tidak memasuki Singapura lagi melalui pintu imigresen selagi Namanya tidak dibersihkan atau beliau memasuki secara haram. Ia sebuah sumpah yang penuh drama.

Kemudian dengan nada sinikal, Irwan berkongsi lapan cara untuk masuk ke Singapura dengan apa cara sekalipun. Antaranya adalah menjadi lanun, masuk dengan cara penyeludupan, masuk sebagai mayat, pelarian, jerebu dan beberapa lagi pendekatan yang absurd dan lucu. Dengan memberikan beberapa contoh, kes sebelum ini dan perincian situasi, Irwan dan Tita membentangkan persoalan dan isu yang lebih besar. Agenda peribadi bertukar menjadi pembentangan berkenaan geopolitik dan sosial yang berlaku di sekitar Selat Melaka melibat tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. 

Dalam cara pertama memasuki ke Singapura dengan menjadi lanun, mereka kemudiannya membentangkan tentang kegiatan lanun di Selat Melaka dari zaman penjajahan sehingga kini. Malah, sehingga kini masih terjadi dan terdapat sisa-sisa lanun yang kini sudah bertaubat ditemubual oleh Irwan dan Tita. Ia turut mendedahkan bahawa kegiatan lanun di Selat Melaka adalah yang kedua teraktif setelah Somalia. Selain itu, turut juga dinyatakan kegiatan lanun ketika di zaman kolonialisme dan fungsi mereka di Selat Melaka.

Irwan turut bercadang memasuki sebagai pelarian. Berbanding Malaysia dan Indonesia, Singapura tidak menerima kemasukan pelarian. Ini bukan sahaja mendedahkan tentang geografi Singapura yang kecil dan tidak mampu menampung kemasukan pelarian, tetapi mendedahkan keadaan nasib pelarian di negara Indonesia yang masih menanti nasib mereka di negara asing. Ketika ini, kita tahu bahawa agenda Irwan membentangkan ideanya hanyalah lapisan luaran yang disampaikan dengan nada jenaka.

Salah satu cara yang paling absurd adalah memasuki Singapura sebagai debu dan asap jerebu. Cara ini adalah komentar terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang banyak berlaku di Indonesia sehingga menimbulkan isu antara negara jiran. Dalam adegan ini, mereka menayangkan klip video keadaan di kawasan pertanian sawit, tanah gambut yang berasap dan terbakar, serta upacara ritual membakar rambut. Dalam nada separa serius, Irwan mengandaikan dia telah menceroboh Singapura sebagai partikel asap dan debu jerebu – mungkin lebih dahsyat, menjadi sebahagian warga Singapura setelah udara di dihirup masuk ke tubuh warga Singapura. 

Di adegan yang lain, Irwan turut menayangkan sijil perakuan menderma organ sebagai satu cara untuk menceroboh masuk ke Singapura tanpa pintu imigresen. Syarat yang dikenakan Irwan juga penuh lucu – organnya hanya dibenarkan untuk waris keluarga Lee Kuan Yew yang terlibat dengan politik di Singapura. Ini untuk memastikan kelestarian sebahagian tubuhnya di dalam tubuh manusia berpengaruh di Singapura. Ia melucukan. Namun, apabila ditunjukkan carta di layar salasilah keluarga Lee yang berkecimpung dalam politik, berkemungkinan organ Irwan didermakan ke salah seorang daripada mereka mungkin boleh terjadi. Yang cuba ditekankan di sini bukanlah mengenai agenda tersebut tetapi sindiran terhadap dinasti politik yang diamalkan di Singapura. Apabila menyedari tentang hal ini, jenaka tersebut sekelip mata menjadi tragedi.

Name Laundering by Irwan Ahmett and Tita Salina

 

Antara cara lain yang dibentangkan adalah melalui cara penyeludupan dan masuk dengan serangan gerila seperti Usman dan Harun semasa era Konfrontasi. Semakin banyak kita mendengar cadangan yang tidak masuk akal ini, kita mula mencari hal-hal kebenaran di sebalik absurditi ini. Kebanyakan yang dibentangkan adalah berkaitan hal-hal sejarah dan isu kontemporari Indonesia-Singapura. 

Pembentangan dibantu dengan beberapa objek dan artifak yang dikutip sepanjang perjalanan mereka di rantau ini.  Artifak ini diletakkan di atas meja dan dikongsikan menerusi paparan di layar. Antara yang aneh adalah rambut gajah yang mereka namakan sebagai Indah — dikutip ketika berada di Sumatera. Semua artifak ini dikeluarkan daripada bekas plastik (saya harap ia plastik kitar semula). Jika dilihat dari tempat duduk penonton ia kelihatan seperti bunjutan jampi serapah untuk tujuan ritual. 

Syarahan diakhiri dengan aksi dramatik Irwan berdiri di atas meja dan menarik rantai besi di dalam siluet. Ia adalah kaitan dengan kisah Hang Nadim yang dilepaskan di laut dengan pemberat besi dan aksi ini adalah simbolik kepada usaha Irwan untuk membawa keluar dari dasar laut. Di dalam siluet kelihatan seperti kepala manusia yang terputus dari badannya. Namun apa yang disangka kepala manusia adalah tandan kelapa sawit. Jenaka Irwan menggamit suspen penonton dan diakhiri dengan hilai tawa penonton. Pembentangan padat dengan nilai jenaka ini mungkin tidak akan dapat disampaikan dengan baik sekiranya mereka tidak jauh berjalan dan berpandangan luas terhadap segala isu dan pembentukan identiti sesebuah negara.

Kajian mereka berdua adalah sebuah kajian yang epik sifatnya. Ini menjadikan pementasan ini menentang sifat drama Aristotle dan mendekati apa yang dicadangkan oleh Brecht menerusi prinsip Teater Epik. Irwan dan Tita cuba mengasingkan kita dengan persoalan kontemporari yang memerangkap kepada persoalan yang jauh lebih kritis seperti kesan kolonialisme, identiti Nusantara, tradisi dan budaya merantau masyarakat di sekitar Selat Melaka dengan pendekatan yang mungkin sesetengah orang anggap sebagai pendekatan primitivisme. Ia mungkin tidak tepat kerana secara tradisinya, tiada amalan primitif diamalkan di rantau ini kecuali jika kita memakai lensa penjajah.


Name Laundering, sebuah persembahan syarahan (lecture performance) oleh Irwan Ahmett dan Tita Salini, dipersembahkan di Five Arts Centre di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2019. Maklumat lanjut di sini

Fasyali Fadzly merupakan seorang pembikin dan penggemar teater yang menetap di Kuala Lumpur. Selain menghasilkan karya-karyanya sendiri, beliau turut menulis artikel dan kritikan teater Malaysia dalam bahasa Melayu di akhbar, majalah dan portal internet.

(Visited 8 times today)
Comments: 0

Your email address will not be published. Required fields are marked with *