Belasungkawa Rohani Yousoff: Pentas, Kelas dan Kertas

Oleh Shahrul Mizad Ashari dan Fasyali Fadzly

(774 patah kata, 10 minit bacaan)

Rohani Yousoff atau lebih senang dipanggil dengan Kak Ani bagi penggiat teater merupakan salah seorang tokoh teater terpenting negara. Sumbangannya tidak terhad dalam bidang teater praktik tetapi juga dalam bidang akademik. Beliau yang merupakan rakan seangkatan Ahmad Yatim, Faridah Merican, Rahim Razali dan Syed Alwi ini mendapat pendidikan awal di Pasir Mas, Kelantan. Sejak 1972 kecintaannya pada dunia teater mendorong beliau melanjutkan pelajaran di New York University. Seterusnya mendalami bidang penyiaran di New York dan Berlin dan turut meraih pengalaman dalam pentadbiran kesenian di London, England.

ObitRohaniYousoff4
Rohani Yousoff, bersama Noordin Hassan (topi merah) dan rakan seni

Pentas

Wanita tegas ini amat mengagumi karya-karya Sasterawan Negara Dato’ Noordin Hassan. Tidak menghairankan beliau seringkali mengangkat karya Sasterawan Negara tersebut. Antaranya drama Noordin Hassan yang mendapat sentuhannya adalah Sirih Bertepuk Pinang Menari (1992), Anak Tanjung (1997), Peran (1996), Tiang Seri Tegak Berlima (1997) dan Cindai. Sentuhan terakhir beliau adalah menerusi teater Sirih Bertepuk Pinang Menari pada tahun 2016 yang diterbitkan di Universiti Terengganu Malaysia semasa beliau berkhidmat sebagai pensyarah di sana. Kata leterannya sering dianggap provokasi sekaligus bekerja di bawah pengarahannya beliau perlukan kekuatan minda.

Selaku pengarah Kak Ani amat peka dan cerewet walaupun ia perkara kecil. Beliau tidak meletakkan dirinya sebagai pengarah yang diktaktor tetapi dalam urusan kerja, beliau melatih ahli produksi untuk berpendirian tegas dan berprinsip. Ketegasan dan provokasinya mengajar orang yang bekerja dengannya untuk berani membuat keputusan.

ObitRohaniYousoff3
Bersama pelajar ASWARA di pementasaan Lysystrata di ASWARA.

Beliau juga seorang pelakon handalan di mana lakonan cemerlangnya dapat disaksikan menerusi teater  Datuk Syed Alwi, Alang Rentak Seribu (1973), Tok Perak (1974), Hamba Allah (1989); Bukan Lalang Ditiup Angin (1974), 1400 (1981), Anak Tanjung dan Cindai oleh Dato Noordin Hassan Pentas Opera (Zakaria Ariffin, 1989);  Perang Terakhir persembahan Revolution Stage (2013), Tamu Dari Medan Perang, karya Dinsman (2012) dan Death Of A Salesman. Kredibiliti lakonan beliau sering diuji dengan melakonkan dalam naskhah-naskhah daripada penulis mapan negara seperti Noordin Hassan, Dinsman, Zakaria Ariffin, Syed Alwi, Jasmina Ibrahim dan banyak lagi.

Beliau bukan sahaja rapat dengan penggiat veteran dan berpengalaman tetapi turut sama berganding bahu dengan penggiat muda. Melalui produksi Gedebe pada tahun 2001 beliau bersama-sama golongan muda seperti Nam Ron, Toemoe, Sharul Mizad Rosman yang pada ketika itu merupakan graduan pertama Diploma Teater Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Bagaikan memahami kebangkitan jiwa-jiwa angkatan muda dalam berteater, beliau bergabung tenaga dan bertindak sebagai penerbit. Malah sewaktu aktif di Kuala Lumpur, kelibat beliau turut kelihatan menonton teater-teater alternative daripada golongan muda seperti Aloy Paradoks, Khairunazwan Rodzy dan yang lain-lain.

ObitRohaniYousoff2
Bersama Dr Nur Afifah Sebastian Abdullah, pakar teater

Beliau turut pernah dilantik sebagai pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan atau ASWARA (masih nama ASK pada ketika itu) di samping turut mengarah untuk beberapa produksi ASWARA antaranya teater eksperimen Mimpi di Malam Panas (2002) sebuah adaptasi A Midsummer Night’s Dream karya asal Shakespeare, Taufan (2003) terjemahan dari The Tempest karya Shakespeare, Menaechmi (2005) karya Plautus, Si Yatim Chao (2007) dan Lysistrata (2009) karya Aristophanes. Dengan pemahaman yang jelas terhadap karya-karya besar dunia turut sama menyumbang kepada perkembangan drama tanah air sekitar era millennial.

Kelas

Bukan sahaja berbakat dalam kerja-kerja praktikal di atas pentas, ilmu yang beliau kendong turut disambung ke dalam kelas-kelas pengajian. Beliau pernah mengajar di Akademi Seni budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Terengganu. Umpama seorang pengembara, beliau tidak betah untuk tinggal lama. Beliau mengembara dari satu institusi ke satu institusi lain dan perjalanannya berakhir di Universiti Terenganu Malaysia.

Sebagai seorang guru, beliau amat tegas dalam memberi ilmu dan sentiasa terbuka di dalam perbincangan. Beliau sentiasa mengajak para pelajarnya untuk melihat drama dan teater daripada perspektif yang berbeza. Pengalaman beliau secara praktikal turut disampaikan kepada pelajar-pelajarnya. Ternyata beliau bukanlah seorang pensyarah catakserukin (cakap tak serupa bikin). Teori-teori akademik dan pengetahuan serta pengalaman berteater disambungkan dan diperdebatkan. Beliau juga dianggap sebagai mediator atau perantara antara ilmu yang diperolehi daripada penggiat teater mapan dengan pelajar-pelajar yang baru hendak berjinak dengan dunia pentas.

Kertas

Di samping tubuh yang ligat di atas pentas dan mulut yang lancar di dalam kelas, jari-jemarinya juga akrab dengan kertas. Beliau banyak menulis kritikan teater Malaysia selain turut menyumbang dalam bidang akademik. Beliau melanjutkan pengajian doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menumpukan kajiannya terhadap karya-karya Noordin Hassan. Kajiannya memberikan impak yang besar terhadap bidang seni dan drama tempatan yang sering dipandang sepi oleh sebilangan ahli akademik dan penggiat teater tempatan. Sumbangannya dalam penulisan-penulisan akademik turut berkait mengenai hal-hal pengarahan, aspek dramaturgikal dan juga pedagogikal. Keseimbangan ilmu teori dan pengalaman praktik membuat beliau berupaya menulis dari perspektif yang pelbagai dan mencapah.

Namun, pada tanggal 24 Februari 2017, Rohani Yousoff telah meninggalkan kita semua akibat serangan strok. Setelah bertarung lebih kurang seminggu, beliau menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di samping keluarga dan sahabat terdekat. Kita kehilangan salah seorang figur penting dalam teater Malaysia. Walaupun sudah mengembara jauh ke negara barat, jiwanya penuh sifat kemelayuan tergambar menerusi teater-teater arahan beliau.  Keberadaannya akan sentiasa dirindui dan sumbangannya akan tetap menitip di bibir penggiat teater tanah air. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

ObitRohaniYousoff5
Di Universiti Malaysia Terengganu.

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah dan penulis teater skala kecil yang
telah bergiat sejak tahun 2003 di Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan formal dalam bidang teater, Dilploma dan Ijazah Sarjana Muda daripada UiTM, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana di University of Calgary, Canada dalam bidang pengarahan teater setelah dianugerahkan Anugerah Biasiswa Akademi ASWARA pada tahun 2013.

Mohd Shahrul Mizad Ashari (Eijat), mula berteater pada tahun 1993/1994 ketika mengikuti kursus Sijil Seni Kreatif (USM). Kini beliau sedang menyelesaikan pengajian Sarjana Seni Kreatif (MA)di ASWARA.Tamat pengajian beliau lebih terarah menjadi pengurus pentas kepada beberapa produksi di Istana Budaya. Dalam pada masa yang sama beliau masih bergerak aktif dalam bidang lakonan. Antaranya teater eksperimen Bondings, Langkau, Baba, Nyonya, Di Bawah Lindungan Kaabah, monodrama Menunggu Lampu Hijau, 3 Lives, Lembu, Projek Kahwin, Jangan Bunuh Sam, Ribut, Split Gravy On Rice, Charley’s Auntie dan yang terkini muzikal Dia Semanis Honey bertempat di Istana Budaya. Namun beliau amat sinonim dengan bangsawan dan telah mengarah beberapa cerita bangsawan seperti Laksmana Cheng Ho, Raja Laksmana Bentan, Bunga Sakti Chinta Malam, Raden Galoh Chandra Kirana, Syakuntala, Seri Teri Buana serta beberapa teater moden The Miracle Seed, Bad Girls, Perhiasan Kaca, Perempuan Bernama Barabah, lepat Pisang Kopi O dan Assyura. Kini beliau berkhidmat sebagai pensyarah fakulti teater di ASWARA.

Tags: Obituary

About the author(s)

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah, dramatis, penyelidik dan pendidik yang bergiat di Kuala Lumpur sejak awal tahun 2003. Beliau telah menulis dan mengarah lebih 20 buah teater. Pada tahun 2014, Fasyali dianugerahkan Pengarah dan Penulis Terbaik dalam Boh Cameronian Arts Award. Teaternya pernah dipentaskan di Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Indonesia, Singapura, Canada dan Republik Czech selain jemputan menjadi panel untuk acara dalam dan luar negara. Beliau turut menulis artikel berkaitan teater dan diterbitkan dalam majalah dan portal tempatan serta antarabangsa. Selain itu, beliau merupakan salah seorang penyelidik bagi projek arkib teater Malaysia, My Art memory Project sejak tahun 2017. Fasyali kini berkhidmat di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Shahrul Mizad Ashari (Eijat) adalah seorang pelakon Malaysia dan juga seorang pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau amat sinonim dengan pementasan bangsawan dan telah mengarah beberapa pementasan bangsawan, serta beberapa teater moden.

1 thought on “Belasungkawa Rohani Yousoff: Pentas, Kelas dan Kertas”

  1. Al-Fatihah. Arwah juga pernah membimbing pelajar-pelajar kelab teater Universiti Islam Antarabangsa dalam mementaskan 12 Angry Men di Laman Budaya, Istana Budaya tahun 2006. Besar sungguh jasa Kak Ani.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top