fbpx
Thinking and Talking about Arts and Culture in Southeast Asia

Jelmaan Baharu Teater Tradisional dalam “Hikayat Cendawan Putih”

Views: 168
Oleh Fasyali Fadzly
(1,120 patah kati, 6-minit bacaan)

Antara pengarah teater yang kurang dicanang dan disebut-sebut dalam pementasan teater kontemporari adalah Sharul Mizad atau lebih senang dikenali sebagai Ejad. Beliau merupakan graduan terawal Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA) bersama beberapa seniman teater seperti Nam Ron dan Norzizi Zulkifli. Dalam bidang teater beliau lebih dikenali sebagai pelakon, dan kebanyakan projeknya merupakan lakonan solo. Antara kerja lakonannya adalah 3 Lives (arahan Krishen Jit), Lembu (karya dan arahan Namron) dan Menunggu Lampu Hijau (karya dan arahan Hatta Azad Khan). Namun, Ejad turut terlibat dalam kerja-kerja pengarahan yang tidak mendapat liputan, kebanyakannya di dalam teater bangsawan yang dianjur dan diterbitkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai salah satu keperluan kursus pelajar. Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang teater lebih daripada 20 tahun, Ejad membawa bekal pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam menangani kerja pengarahan terbaharunya, Hikayat Cendawan Putih.

Persembahan ini diterbitkan oleh Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis (TOPENG) melalui slot Panggung Seni Tradisional 2019 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC). Pementasan ini juga adalah sebahagian daripada acara KL Diversecity Festival 2019. 

Naskhah ini mengisahkan tentang seorang anak raja bernama Raden Kesuma Ningrat yang dibesarkan di negeri terbuang setelah diusir oleh bapanya Raja Indera Kemala Putera. Beliau kemudiannya merantau dengan menggunakan nama Cendawan Putih bersama ibunya. Kemudian, apabila dewasa beliau mengembara seorang diri dan mencari ilmu peperangan sehingga berjaya menyelamatkan Tanjung Pura sehingga diambil menjadi anak angkat Raja Tanjung Pura. Beliau kemudiannya berkahwin dan kembali ke pangkuan ibunya. Dalam masa yang sama, ayah kandungnya telah gering. Abangnya, Raden Kesuma Wati, telah keluar istana untuk mencari penawar. Semasa perjalanan mencari penawar, beliau telah menemui adiknya yang pernah dibuangnya dahulu. Dia meminta Raden Kesuma Ningrat untuk mencari penawar ayahnya. Setelah penawar diberikan, si abang berniat untuk membunuh adiknya. Namun, cubaan ini dapat dipatahkan. Si Adik berasa kesal dengan tindakan abangnya dan akhirnya memaafkan segala tindakan abangnya.

Seperti kebanyakan cerita-cerita hikayat seperti ini, bentuk penceritaannya amat jelas dan tidak kompleks. Naratifnya lebih kurang dengan repertoire cerita-cerita Mak Yong dan teater tradisional yang lain. Namun, apa yang membuatkan pendekatan pengarahan Ejad unik adalah rukun teater tradisional yang digunakan dalam persembahan ini. Hikayat Cendawan Putih menggunakan rukun teater tradisional dengan cemerlang dengan pendekatan yang segar. Dengan mengambil inspirasi bentuk persembahan Awang Batil, Ejad telah menghasilkan satu bentuk persembahan yang mengangkat aspirasi teater tradisional. Pementasan ini mempunyai unsur nyanyian, tarian, gerak, lakonan, penceritaan, muzik, jenaka selingan — sama seperti teater tradisional lain di Malaysia. Yang menariknya, bentuk persembahan ini tidak mempunyai kesamaan langsung dengan teater tradisional sedia ada seperti Mak Yong, Mek Mulung, Randai, Bangsawan dan yang lain-lain.

Hikayat Cendawan Putih
Photo: Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis

 

Dengan mengambil inspirasi daripada persembahan Awang Batil iaitu satu bentuk persembahan lipurlara, Ejad menerokai bagaimana cerita-cerita yang dikendalikan oleh seorang penglipurlara dapat diisi dengan persembahan pentas. Dalam pementasan yang berlangsung pada 25 – 26 Oktober 2019 di Dewan Tunku Abdul Rahman, MATIC, seorang pemain Awang Batil iaitu Ramli Mahmud telah dibawa dari Perlis untuk menjayakan pementasan ini. Beliau merupakan satu-satunya penglipurlara Awang Batil yang masih mementaskan kesenian ini di Malaysia. Beliau muncul di awal cerita sebelum 10 orang pelakon muncul di atas pentas mengambil alih persembahan — atau dalam konsep teater tradisional masuk kepada bahagian pecah cerita. Walaupun Ramli Mahmud hanya muncul pada sesetengah adegan sahaja, namun persembahan pecah cerita secara simboliknya dipentaskan seolah-olah penceritaan ini berlaku di dalam minda penglipurlara. 

Teater ini telah dilakonkan oleh Akid Jabran, Iefiz Alaudin, Faez Malik, Syafiq Syazim, Saiful Wazien, Muhammad Farhaziq, Muhammad Arshad, Adika Zainal, Syrul Ezwan dan Yusmar Afeendi. Sepuluh orang pelakon lelaki ini memainkan peranan sebagai korus yang melakonkan pelbagai watak dalam cerita ini. Dengan pakaian asas baju dan seluar dengan tona warna tanah, pelakon ini dibekalkan dengan aksesori lain seperti kain selendang dan pengikat kepala. Ia boleh ditanggal dan dipakai dengan mudah untuk memberi indikasi kepada penonton bahawa seseorang pelakon memainkan watak lain juga sepanjang persembahan ini. Dalam satu adegan, tiga pelakon menggunakan kain selendang dan mengibarkannya untuk menjadi watak burung bayan. Kain selendang juga digunakan sebagai props menggambarkan telur burung merpati, set gunung-ganang, hutan serta banyak lagi. Dengan penggunaan set dan prop yang minimal, para pelakon masih dapat memberi gambaran visual tentang dunia persembahan. Penggunaan aksesori tambahan ini dilihat cukup ekonomikal tetapi berkesan dalam kebanyakan adegan.

Terdapat beberapa adegan, pelakon-pelakon ini mengaduh letih dan penat di atas pentas seolah-olah terkeluar dari dunia pementasan. Mereka berinteraksi dengan pemuzik dan penonton dengan santai dan dalam sekelip mata mereka boleh masuk ke dalam dunia pementasan dan menjadi pelakon semula. Ia mewujudkan pengalaman separa meta — juga mengingatkan saya tentang kecairan pelakon-pelakon yang memegang watak Peran dalam teater Mak Yong yang kadang kala mengusik penonton dan orang di luar dunia pementasan mereka. Ia sesuatu yang mengejutkan serta unik dalam konteks persembahan ini. Terdapat satu ketika, seorang pelakon mengusik Tok Awang Batil yang duduk di penjuru pentas memerhatikan gelagat mereka. Ia wujud dalam suasana yang tepat dan tidak diduga. Kecairan fungsi antara pelakon-watak dan dunia persembahan-dunia realiti membuatkan persembahan ini menepati rukun teater tradisional yang biasanya lebih longgar.

Hikayat Cendawan Putih juga bukanlah sepenuhnya mengangkat prinsip-prinsip teater tradisional. Elemen teater barat juga dapat dikesan dengan penggunaan fizikal pelakon. Fizikal pelakon digunakan secara meluas. Pelakon memainkan watak ular, singa naga, burung bayan dengan menggunakan pergerakan dan gestur simbolik. Ia ekonomikal dan abstrak tetapi berkesan memenuhi imaginasi penonton. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa pendekatan yang digunakan menghampiri dengan teater fizikal. Ia benar dan kehadiran elemen teater fizikal merupakan ramuan yang tepat dalam teater ini. Bentuk pergerakan juga banyak terinspirasi daripada gerakan silat. Menariknya, gerakan inspirasi silat ini seolah gabungan pergerakan aksi cemas yang seolah sarkas atau circus-like action. Pelakon dilambung, melompat tinggi, berpijak antara satu sama lain dan banyak lagi aksi-aksi sarkas. Hibriditi silat (elemen ketimuran) dan sarkas (elemen kebaratan) ini kelihatan melengkapi antara satu sama lain. 

Walaubagaimanapun, pementasan gagal mengekalkan momentumnya sehingga ke akhir pementasan. Ketika pementasan menuju ke babak-babak akhir, Ejad tercungap-cugap mengekalkan idea, konsep dan hala tuju cerita ini — sama seperti pelakon-pelakonnya yang kurang stamina. Babak-babak akhir dilihat kurang ditangani dengan prinsip dan konsep yang sama seperti di awal-awal adegan. Kebanyakan penceritaan dipersembahkan dalam adegan lakon yang konvensional dengan dua watak berdialog membuat konfrontasi terakhir. Babak separa-meta tidak muncul dengan konsisten. Ia membuatkan penonton semakin mengasingkan diri dengan persembahan. 

Namun, secara keseluruhan persembahan ini adalah sebuah eksperimentasi yang berjaya. Ejad telah mempamerkan kepada khalayak kefahaman beliau tentang rukun-rukun teater tradisional dan bagaimana rukun-rukun ini dieksperimentasi mengikut pemahaman dan pendekatan kontemporari. Turut difahamkan bahawa pementasan Hikayat Cendawan Putih adalah sebahagian kajian Ejad untuk melengkapkan kajian peringkat sarjana beliau beberapa tahun yang lalu. Dengan kajian panjang yang mendalam tentang gaya lakon dan pengarahan teater tradisional, Ejad telah berjaya menzahirkan sebuah bentuk persembahan kontemporari yang kritikal dari segi falsafah penciptaannya. 


Awang Batil: Hikayat Cendawan Putih merupakan sebuah pementasan yang diterbitkan oleh Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis (TOPENG). Ia dipersembahkan di Malaysian Tourism Centre (MATIC), Kuala Lumpur pada 25-26 Oktober 2019. Maklumat lanjut di sini.  

Fasyali Fadzly merupakan seorang pembikin dan penggemar teater yang menetap di Kuala Lumpur. Selain menghasilkan karya-karyanya sendiri, beliau turut menulis artikel dan kritikan teater Malaysia dalam bahasa Melayu di akhbar, majalah dan portal internet.

(Visited 17 times today)
Comments: 0

Your email address will not be published. Required fields are marked with *