Pada 15 – 18 Disember tahun lalu, Swordfish+Concubine karya Kee Thuan Chye telah dipentaskan di dalam bahasa Mandarin di Pentas 2, KLPAC. Tidak sampai setahun, naskhah ini dipentaskan sekali lagi di KLPAC. Kali ini di Pentas 1, ruang yang lebih besar, dan diarah dan diterbitkan sendiri oleh Kee Thuan Chye dengan barisan pelakon yang baharu di dalam bahasa asal ia ditulis, bahasa Inggeris. Keputusan mementaskan naskhah ini pada tahun ini seperti ada satu desakan yang timbul di benak hati dan pemikiran Thuan Chye.
Pementasan mutakhir ini adalah pementasan yang ketiga selepas pertama kali dipentaskan di Singapura pada tahun 2008 bersempena dengan Festival Teater Singapura. Naskhah ini mengambil inspirasi daripada kisah di dalam buku Melayu klasik, Sejarah Melayu. Namun adaptasi ini dibuat dengan penuh cermat untuk disesuaikan dengan persekitaran politik dan sosial kontemporari di Malaysia.
Swordfish+Concubine adalah sebuah naskhah yang pekat citarasa Teater Epik saranan Bertolt Brecht. Ciri-ciri Teater Epik dapat dilihat dengan jelas melalui aspirasi Thuan Chye sebagai penulis dan pengarah. Alienation effect yang menjadi perkara tunjang dalam Teater Epik dilihat sangat rapi disusun di dalam setiap babak. Dari segi lakonan, gerakan dan juga penggunaan muzik dendangan Rhythm In Bronze menjadikan naskhah ini unik dan berbeza dengan kebanyakan naskhah-naskhah kontemporari lain di Malaysia.
Walaupun menggunakan latar dan cerita klasik, namun persoalan dan isu yang ditampilkan di dalam pementasan ini begitu dekat dengan masyarakat di Malaysia pada ketika ini. Apa yang menarik untuk diperhatikan di dalam naskhah ini adalah pemilihan watak protagonis di dalam naskhah ini. Pada awal cerita, kita dapat lihat Hang Nadim menjadi protagonis. Selepas Hang Nadim dibunuh dalam konspirasi kumpulan elit dan bangsawan, watak protagonis berubah kepada watak gundik sultan yang diberi nama Nurhalisa yang kemudiannya juga mati. Konvensi biasa dalam penulisan akan menyaksikan perjalanan hanya seorang protagonis menentang antagonis. Namun Thuan Chye memilih untuk mengaburi entiti protagonis dan konvensinya di dalam naskhah ini. Bagi penonton yang terbiasa dengan konvensi teater dramatik Aristotle, mereka akan mengikuti cerita dan pemikiran protagonis. Namun, di dalam naskhah ini, Thuan Chye seolah-olah mencadangkan bahawa naskhah ini tidak menekankan tentang manusia dan psikologinya, tetapi ia tentang idea yang dibawakan oleh watak-watak tertindas dalam naskhah ini iaitu idea Hang Nadim dan Nurhalisa. Walaupun Hang Nadim telah mati di pertengahan cerita, ideanya masih kekal dibawa oleh watak Nurhalisa – begitu juga selepas kematian Nurhalisa. Thuan Chye ingin menegaskan di sini bahawa idea-idea tidak akan mati walaupun pejuang rakyat ini dilenyapkan. Hal ini dapat diperhatikan sehingga ke akhir cerita dengan jelas. Konvensi ini dilihat memberi kesan dalam pementasan ini yang mana penekanan terhadap idea adalah lebih penting daripada watak-watak. Sebagai penulis, Thuan Chye begitu mendahulukan pembangunan idea berbanding pembangunan watak.
Setiap kisah dan insiden yang berlaku di dalam cerita klasik ini dikaitkan dengan isu-isu kontemporari yang berlaku dalam landskap politik di Malaysia. Isu-isu seperti tahan tanpa bicara, perhimpunan haram, kronisme, nepotisme, salah guna kuasa, rasuah dan banyak lagi menjadi rencah dalam persembahan ini. Ia dipersembahkan dengan nada jenaka dan sesuai dengan konteks semasa. Ini menjadikan kita sebagai penonton sedar, pementasan ini bukanlah lagi tentang Hang Nadim dan Nurhalisa lagi tetapi tentang keadaan yang berlaku di Malaysia. Teks Sejarah Melayu hanya menjadi kenderaan bagi Thuan Chye untuk menyampaikan realiti sebenar politik dan sosial di Malaysia.
Persembahan ini turut diiringi oleh dendangan muzik oleh kumpulan gamelan kontemporari Rhythm In Bronze. Dengan iringan muzik menggunakan alat muzik tradisional dengan susunan kontemporari, ia bukan sahaja memberikan mood dan suasana, tapi sekaligus menjelaskan geografi dan latar cerita ini.
Namun terdapat beberapa perkara yang dirasakan kurang menyengat dalam pementasan kali ini. Barisan pelakon yang dipilih ternyata mantap dan handal berlakon. Namun, dalam pementasan yang mana menuntut lakonan yang lebih instruktif menjadikan terdapat babak-babak dilakonkan dengan penuh dramatik. Ini agak bertentangan dengan idea lakonan dalam teater Epik. Di babak-babak terakhir, watak Sultan Iskandar dilihat dilakonkan dengan penuh dramatik. Sebagai penonton, ia seolah-olah mengajak kita untuk bersimpati dengan wataknya yang berada di dalam dilema seorang Sultan. Sultan Iskandar dipamerkan begitu beremosi dengan keadaan yang menimpa diri dan kerajaannya. Ini sekaligus menjauhkan pementasan ini dengan gagasan idea Teater Epik.
Kebanyakan aksi lakon tidak begitu instruktif. Namun ini tidak bermaksud lakonannya gagal. Idea-idea kasar dalam pementasan ini masih dapat dilihat dan didengari. Lakonan yang tidak instruktif malah banyak imitasi (atau peniruan seperti cadangan Aristotle) menjadikan teater ini tidak bersifat didaktik pada beberapa bahagian. Ada pelakon yang berjaya melakonkan dengan baik, namun ada yang tidak. Ini menjadikan gaya lakonan secara berkumpulan yang tidak konsisten. Seharusnya, watak-watak hanyalah kenderaan penulis untuk menyampaikan idea. Jadi pelakon yang memandu (bukan menjiwai) watak-watak ini perlu membawa idea penulis sampai ke destinasinya iaitu penonton.
Pementasan ini telah berlangsung selama lebih kurang dua jam termasuk rehat intermission. Di pengakhiran pementasan, laungan-laungan menyeru kebangkitan diucapkan oleh pelakon-pelakon diiringi muzik gamelan Rhythm In Bronze.
“No more killing of Hang Nadim,
No more death by impalement,
No more turning into stone.
Time for the people to rock, yo!”
Desakan Thuan Chye yang menjadi persoalan pada awalnya telah terjawab setelah habis menonton pementasan ini. Seperti semua teater ala Brechtian, Thuan Chye turut bersetuju, tindakan yang paling utama adalah tindakan di luar panggung. Penonton perlu bertindak untuk menyelamatkan sosial mereka dari terus dicengkam politik yang zalim. Dalam gelak tawa dengan jenaka-jenaka yang sarat kritikan, penonton dididik untuk mengambil tindakan yang lebih pragmatik. Gesaan Thuan Chye untuk mementaskan teater ini sekali lagi sebelum tiba musim pilihanraya, diharap dapat membuahkan hasil. Time for the people to rock, yo!
Swordfish+Concubine telah dipentaskan pada 2 – 5 November 2017 di Pentas 1, KLPAC. Ditulis, diterbitkan dan diarahkan oleh Kee Thuan Chye, muzik oleh Rhythm In Bronze, rekaan set dan cahaya oleh Loh Kok Man, koreografi oleh Faillul Adam dan kostum oleh Dominique Devorsine. Lakonan oleh Amanda Ang, Arief Hamizan, Bella Rahim, Hana Nadira, Iefiz Alaudin, Lam Ghooi Ket, Alfred Loh, Joel Timothy Low, Na’a Murad, Qahar Aqilah, Sandra Sodhy dan Gregory Sze.