hello-i-m-nik-zYdYz7JlevE-unsplash
Hello I'm Nik on Unsplash

Saya Takut Untuk Mengkritik Sehinggalah Saya Berjumpa Sekumpulan Pengkritik: Refleksi Terhadap AAMR

Bila anda mendengar perkataan “pengkritik”, apakah yang anda bayangkan?

Saya sering membayangkan orang yang pakai cermin mata; ulat buku, sangat serius, dan payah untuk puaskan hatinya. Daripada pandangan saya dulu, pengkritik adalah orang yang menulis dan berbicara tentang karya seni, dan selalunya menggunakan perkataan yang canggih dan bicaranya disirami jargon yang mengelirukan.

Saya pernah rasa kurang selesa dengan mereka. Saya rasa mereka lebih pandai daripada saya. Pertembungan pertama saya dengan hal kritikan terjadi semasa darjah lima dengan guru saya. Tepat ke muka saya dia beritahu yang saya bodoh dan tak berguna satu sen pun, kerana saya buat kerja sekolah yang “sampah”. Saya masih ingat, dia bercermin mata, selalu merayau di kaki lima sekolah sambil bawa timbunan buku, tak pernah senyum dan susah nak puaskan hatinya. Ketika itu saya percaya yang tujuan hidup dia adalah untuk mencari salah orang dan hal lain – dia lakukan ini dengan penuh bergaya.

Pada masa itu saya berusia 11 tahun, dan dialah pengkritik paling kejam yang saya pernah jumpa. Walaupun saya tak ada masalah kepercayaan diri, perkara itu hampir buat saya layan idea yang saya ni memanglah tak cerdik. Saya lega yang dia cuma mengajar saya satu subjek, iaitu bahasa Melayu. Pengalaman-pengalaman awal itu tertanam dalam diri saya untuk tidak menyukai pengkritik.

Kritikan atau kutukan, saya tak dapat bezakan dan saya tak peduli.

Kelihatan seperti semua pengkritik mengikuti formula yang sama:

      1. Pura-pura menghamburkan pengetahuannya sambil meletak ibu jari dan telunjuk di dagu.
      2. Kelihatan berfikir jauh dan sekali-sekala sebut “hmm” untuk bagi kesan tambahan.
      3. Hubungkaitkan beberapa poin, contoh atau karya terdahulu dan mendesak orang lain untuk bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat.
      4. Petik mana-mana rujukan atau ungkapan daripada orang terkenal (lagi baik kalau ahli falsafah/psikologi) dan cari kesalahan – lagi bagus kalau banyak kesalahan.
      5. Lagi rumit jargon yang digunakan, akan lebih menampakkan yang mereka memang benar-benar arif.
      6. Dan untuk nampak adil dan saksama, tambah satu atau dua perkara remeh yang disukai (lagi bagus kalau letak di bahagian akhir, tulisan akan berakhir dengan nada yang baik).
      7. Kalau ada sesiapa yang tidak bersetuju, ingatkan mereka siapa yang lebih pakar dan pastikan untuk sebut kursus mahal yang pernah diambil di universiti/institusi tersohor untuk tambah lagi kesahihan poin yang dibuat.

Inilah sebabnya, walaupun semakin dewasa dan akhirnya menjadi wartawan, penulis, pakar penyedia kandungan, dan salah satu pengasas portal komuniti seni dan budaya, Eksentrika, saya menjauhkan diri daripada kerja-kerja formal “mengkritik”. Saya tidak pasti yang ia boleh dibuat dengan adil dan secara bertanggungjawab.

Bayangan diri saya yang berusia 11 tahun itu sering berada dalam fikiran saya apabila saya cuba untuk mengkritik seseorang. Bagaimana saya dapat mulakannya? Adakah saya mulakan kritikan dengan hal yang teruk dahulu? Contohnya, percubaan seorang pengkarya untuk meniru arca dan lukisan Yayoi Kusama sebenarnya cuma menampakkan zirafah yang muram dan sakit kuning. Atau adakah lebih baik kalau saya mulakan dengan tonasi yang diplomatik dengan menyatakan dulu perkara yang saya suka, walaupun segelintir, sebelum saya memuntahkan kenyataan yang pahit, contohnya: “Wei, gantung ajelah berus tu dan carilah kerja pejabat”?

Disebabkan sukar untuk mencari titik tengah ini, saya buat keputusan – lebih baik jika saya memilih nada yang lebih menggalakan.

Saya tidak mahu menjadi seseorang yang menyekat atau membunuh ekspresi seseorang pengkarya dengan penilaian saya yang subjektif dan kadang kala terlalu keras. Hal ini membuat saya kekal memilih nada yang positif. Saya cenderung untuk menghamburkan ayat-ayat seperti “OMG, saya suka ni! Teruskan berkarya! #Bertabahlah #TingkatkanUsaha #PelanPelanKayuh”

Seni adalah sesuatu yang peribadi.

Carl Jung, seorang pakar psikiatrik dan psikoanalisis (ya, macam inilah kalau nak petik nama orang, seperti yang diberitahu awal tadi) pernah berkata yang ego manusia adalah sebab utama kita sebagai individu mempunyai perasaan dan rasa jati diri. Ia membantu kita untuk mencari makna dan hala tuju dalam kehidupan kita.

Ego diri juga adalah satu faktor penting yang menyebabkan seseorang untuk capai berus untuk melukis, berkarya, menyanyi, menari, dan berlakon. Keinginan kita untuk menjadi karyawan terkenal, penulis buku terlaris atau pemuzik yang menang pelbagai anugerah adalah perkara-perkara yang membuatkan kita untuk terus mencapai kecemerlangan dan berusaha dengan lebih gigih.

Malah, ego ini juga boleh menyebabkan kelumpuhan, dan menyekat orang paling berbakat di kalangan kita dengan ketakutan dan kegusaran. Saya pernah berjumpa ramai jiwa-jiwa besar yang gagal dalam mengorak langkah mereka disebabkan oleh sekatan yang mematahkan potensi mereka, dibunuh sebelum mereka mulakan langkah pertama. Ego boleh membesar bila disogok dengan pujian dan menguncup dengan kritikan yang paling halus.

Mengkritik tidak bermanfaat dan melucukan. Atau benarkah?

Ketika saya bertugas sebagai pegawai publisiti di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), saya memerhatikan pelbagai situasi di mana pengarah-pengarah teater memutuskan untuk menukar sedikit skrip, props, kostum, atau set pentas mereka. Waktu itu, saya merasakan perubahan ini tidak memberi apa-apa makna pun.

Sering kali juga, banyak pengarah teater dan barisan pelakon secara tidak sedar, sebagai contoh, menggunakan bangku berwarna coklat untuk adegan perceraian kerana hakikatnya memang tiada kerusi lain yang ada. Malah, sesetengah orang cerdik pandai membuat andaian bahawa ia sesuatu yang simbolik, memberi gambaran bahawa watak yang sedang duduk di atas bangku coklat dalam adegan perceraian itu membawa makna bekas suami itu seseorang yang berperangai serupa tahi. Andaian-andaian seperti ini biasanya membuatkan saya gelihati.

Fikiran saya cuma berubah lewat kebelakangan ini, setelah berjumpa dengan pengkritik professional yang terlatih di Asian Arts Media Roundtable (AAMR) anjuran ArtsEquator dengan kerjasama Singapore International Festival of Arts (SIFA).

Bermula 18 Mei hingga 12 Jun 2021, saya berpeluang berinteraksi dengan penggiat teater, menonton persembahan SIFA secara virtual, dan berbincang apa maksud kritikan yang sebenarnya melalui program AAMR. Saya berasa lega kerana mempelajari bahawa, seperti saya, orang lain, sebahagian yang juga adalah pengkritik seni dan wartawan, berkongsi salah tanggapan yang serupa, perasaan takut dan kegelisahan tentang perihal kritikan. Dan mereka semua adalah orang-orang penting dalam jalur masing-masing, meninggikan penanda aras dalam kegiatan seni di tempat masing-masing daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina dan Malaysia.

Salah satu matlamat untuk AAMR tahun ini ialah untuk membincangkan elemen kritikan yang selalu terlepas pandang: tatacahaya, kostum, rekaan set, multimedia dan video. Melalui empat pembentangan yang dibuat oleh pakar dalam bidang tersebut, setiap peserta yang terlibat dalam AAMR mendapat manfaat daripadanya. Ia sebuah sesi yang membuka mata yang menumpukan kepada betapa pentingnya aspek produksi dan teknikal dalam seni persembahan.

Kami turut mencambah pengetahuan melalui penontonan pelbagai persembahan virtual diikuti dengan sesi kritikan langsung untuk mengkritik karya-karya ini. Saya akhirnya menyaksikan sendiri dan dapat memerhati bagaimana pengkritik menganalisa sesebuah karya persembahan ketika menyertai sesi Critics Live! berkenaan persembahan The Year of No Return oleh Necessary Stage, yang dibawakan sebagai satu acara SIFA. Kolaborasi interdisiplin yang canggih ini manggabungkan ramai individu daripada rantau Asia Pasifik bekerjasama untuk menghasilkan persembahan tentang perubahan iklim.

Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu jam, pengkritik meneroka dan berkongsi pendapat mereka terhadap keberkesanan persembahan tersebut untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu global yang mempunyai pelbagai konteks dan cabaran yang rumit. Dengan tidak meremehkan semudah-mudahnya, para pengkritik menekankan isu-isu yang ditangani dengan meneliti berlapis-lapis idea, membedah cerita, menganalisa setiap pemilihan dalam menentukan halatuju kreatif dan juga nuansa dialog untuk menemukan makna yang mendalam terhadap persembahan tersebut.

Ia mengujakan saya dan serta-merta mengubah pandangan saya sehingga saya mampu membuang semua salah tanggapan saya sebelum ini terhadap pengkritik, terutamanya pengkritik seni.

Saya menyedari, mengkritik adalah seperti berjalan masuk ke sebuah kebun buat pertama kali dan menemukan hubungkaitnya terhadap seluruh ekosistem. Kemudian, seperti ahli saintis, kita boleh menyiasat dengan lebih lanjut, membuat eksperimen dan bersoal-soal seperti, “Apa akan terjadi kalau sejumlah elemen-elemen ini ditambah atau dikurangkan?”

Mengkritik adalah perihal membuat tanggapan mendalam untuk mengesan pandangan yang lebih bernuansa. Ia sudah tentu bukan sekadar suka atau tidak suka dan memberi penilaian berdasarkan satu atau dua bintang.

Mengkritik adalah mengaitkan.

Tugas seorang pengkritik tidaklah mudah, dan sesiapa yang mengambilnya sebagai perkara yang mudah akan memberi kesan buruk terhadap seni dan seniman.

Berdasarkan pemerhatian saya dengan menghadiri AAMR, saya percaya kritikan boleh jadi konstruktif, tajam dan penting untuk kita majukan industri seni dan budaya secara menyeluruh. Kita boleh mendapat manfaat daripada pandangan-pandangan yang kita utarakan, jika kita mampu untuk mengenepikan sifat dengki atau pentingkan diri demi memberikan maklumbalas yang jujur dan membina. Ia memerlukan kita untuk membina kepercayaan antara satu sama lain, agar kita dapat menerima, mengesahkan dan melihat kebaikan dalam pendapat yang kita tidak setuju.

Di akhir acara AAMR, saya bertanya diri saya, kenapa saya takut dan menolak idea mengkritik? Adakah ia sebenarnya kerana kesilapan guru sekolah saya yang bengis itu? Dia menyatakan fikirannya tanpa tapisan, dengan cara merendah-rendahkan yang saya fikir agak kasar. Mungkin juga, saya memang sangat lemah dalam mendalami bahasa Melayu.

Apa yang saya pelajari daripada pengalaman ini ialah sifat empati dan kritikan tidak boleh wujud tanpa kedua-duanya, untuk dikirimkan dengan niat yang baik dan diterima dengan senang. Dengan itu, saya berpendapat yang kita semua akan saling manfaat jika ada lebih banyak peluang untuk mendengar dan berdialog secara kritis dengan mereka yang mempunyai pandangan dan ekspresi yang berbeza, walaupun berbeza matlamat. Bukankah itu yang diinginkan masyarakat?

Melangkaui persembahan pentas dan pameran, dalam dunia sebenar advokasi dan kewartawanan, kritikan boleh membuatkan seseorang dipenjara, atas sebab-sebab penapisan (censorship), gangguan malah pembunuhan.

Dalam era peningkatan aktivisme dan agensi yang lantang di kalangan masyarakat biasa di Internet, bagaimana kita menyantuni para seniman yang berjuang untuk isu-isu tertentu?

Apabila berhadapan dengan pengkritik, patutkah seniman menganggap ia sebagai satu penghinaan terhadap bakat mereka? Ataupun menggunakannya sebagai satu peluang untuk menumbuhkan sebuah wacana yang rangsang? Secara peribadi, apabila kembali ke meja kerja di Eksentrika, saya lebih bersetuju dengan jawapan yang kedua.


Artikel ini diterbitkan terlebih dahulu dalam Bahasa Inggeris di laman ArtsEquator di sini

ArtsEquator dengan bangga mempersembahkan Asian Arts Media Roundtable (AAMR), yang berlangsung dari 15 Mei – 12 Jun 2021 daripada kerjasama SIFA 2021.

About the author(s)

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah, dramatis, penyelidik dan pendidik yang bergiat di Kuala Lumpur sejak awal tahun 2003. Beliau telah menulis dan mengarah lebih 20 buah teater. Pada tahun 2014, Fasyali dianugerahkan Pengarah dan Penulis Terbaik dalam Boh Cameronian Arts Award. Teaternya pernah dipentaskan di Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Indonesia, Singapura, Canada dan Republik Czech selain jemputan menjadi panel untuk acara dalam dan luar negara. Beliau turut menulis artikel berkaitan teater dan diterbitkan dalam majalah dan portal tempatan serta antarabangsa. Selain itu, beliau merupakan salah seorang penyelidik bagi projek arkib teater Malaysia, My Art memory Project sejak tahun 2017. Fasyali kini berkhidmat di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Sukhbir Cheema is a writer, cartoonist, and co-founder of the arts & culture community platform Eksentrika which he manages together with his wife, Ista Kyra. He also heads Mashable Southeast Asia.

Sukhbir Cheema adalah seorang penulis, kartunis, dan pengasas bersama platform komuniti seni & budaya Eksentrika yang dikelolanya bersama isterinya, Ista Kyra. Dia juga mengetuai Mashable Southeast Asia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top