Oleh Fasyali Fadzly
(1075 patah kata, 9-minit bacaan)
Saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan tulisan mengenai teater Version 2020 yang diarahkan oleh Mark Teh. Ia sebuah teater yang memerlukan pengamatan yang tajam, pengetahuan yang luas dan pemahaman terhadap konteks keseluruhan pementasan ini. Kajian teater ini turut mengambil masa yang lama dan penuh kritikal – menjadikan ia bukan sebuah teater yang bukan calang-calang. Teater dokumentari yang dipentaskan pada 15 – 18 Mac 2018 di Kotak, Five Arts Centre telah pun berakhir sebulan yang lalu. Setiap hari saya memikirkan tentang teater ini dan bagaimana saya mahu tulisan saya dibaca. Menulis tentang Version 2020 seolah-olah satu tindak balas seni yang perlu dibuat dengan berhati-hati.
Version 2020 telah dipentaskan di Munich, Jerman dan Tokyo, Jepun sebelum pementasan di Kuala Lumpur dibuat. Saya difahamkan, terdapat perubahan untuk versi di Tokyo berbanding Munich. Mark telah mengubah dan meneliti semula kebanyakan adegan untuk disesuaikan dengan perspektif yang lebih terarah. Tambahan, mereka punya masa selepas pementasan di Munich untuk memperbaiki beberapa adegan sebelum dibawa ke Tokyo. Namun, untuk pementasan di Kuala Lumpur, tidak banyak yang berubah daripada pementasan di Tokyo.
Version 2020 bertitik tolak terhadap Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Tun Mahathir pada tahun 1991. Tun Mahathir menggariskan sembilan aspirasi yang perlu dicapai sebelum tahun 2020 supaya mencapai status negara maju. Teater ini turut mengimbau dan membincangkan kembali bagaimana idea Wawasan 2020 menyelusup masuk sebagai ideologi dalam kebanyakan cara. Ia terpapar dengan jelas melalui lukisan-lukisan pelajar sekolah. Secara kolektif terdapat satu generasi yang menerima impak secara terus. Melalui pementasan ini, Imri Nasution dan Fahmi Reza secara jelas menceritakan bagaimana ia memberi impak kepada mereka pada ketika itu. Segmen awal banyak membincangkan tentang bagaimana kerajaan pada ketika itu menjadikan ia sebagai naratif nasional yang perlu diikuti oleh semua rakyat Malaysia. Wawasan 2020 menjadi satu destinasi penting dalam sejarah negara. Gambaran masa depan di dimainkan semula oleh para pelaku.
Adegan pertama dimulakan dengan seorang demi seorang pelaku masuk ke pentas dengan mengangkat sepanduk dengan pelbagai tulisan yang kadang kala provokatif, kadang kala lucu. Protes senyap ini berlangsung beberapa minit di hadapan penonton mengingatkan saya tentang adegan awal di dalam Baling. Ia mempunyai pendekatan yang serupa – bezanya kata-kata dari sepanduk ini tidak dibaca oleh pelaku tetapi dibaca oleh penonton. Adegan permulaan ini telah membuatkan kita sedar bahawa teater ini punya nada politikal. Pelaku secara bergilir-gilir mengangkat sepanduk dari kedudukan berbeza sehingga membentuk barisan dan berpecah.
Adegan seterusnya pula adalah membincangkan bagaimana Wawasan 2020 memberi impak terhadap kesemua pelaku ini samada secara langsung mahupun tidak langsung. Ia juga disampaikan dalam pelbagai cara – melalui naratif konvensional melalui pengalaman lampau, perlakuan semula aksi – secara jelas dan juga secara abstrak. Mark seperti cuba menggunakan pelbagai pendekatan teaterikal yang berbeza untuk berkomunikasi dengan penonton bagi menyampaikan maksud sebenar persembahannya.
Walaupun menggunakan pendekatan teaterikal, tiada unsur lakonan dibuat oleh kelima-lima pelaku. Kebanyakan pelaku-pelaku cuba membentangkan isu, ingatan, harapan dan pendapat alternatif sebagai satu tindakbalas yang lebih matang dalam persekitaran kontemporari. Terdapat variasi tindakbalas oleh pelaku terhadap Wawasan 2020. Imri misalnya, mempunyai pengalaman yang menyeronokkan ketika masih kecil kerana terlibat di dalam perarakan di Dataran Merdeka. Setiap pelaku menampilkan pengalaman yang unik terhadap pemahaman mereka terhadap Wawasan 2020 dan bagaimana perspektif mereka berubah dari masa ke semasa. Roger Liew pula memberi tindakbalas yang berbeza apabila menceritakan detik perhimpunan Bersih yang dibuat di Dataran Merdeka.
Mungkin kita secara langsung menyedari bahawa persembahan yang selalu ditawarkan oleh Five Arts Centre selalu bersifat anti-establishment – sering tidak sehaluan dengan politik perdana. Ini sekaligus menjadikan Wawasan 2020 sebagai satu penolakan yang nyata di dalam teater ini. Mereka cuba memaparkan masa depan alternatif mengikut acuan mereka sendiri. Perbincangan mereka ini bagaimanapun tidak terarah kepada tema masa depan (sesuatu yang abstrak), tetapi beralih arah kepada satu hal yang konkrit iaitu ruang – lebih spesifik – Dataran Merdeka. Kesemua pelaku mempunyai kesamaan pengalaman dengan ruang yang akhirnya menjadi ‘subjek’ dalam teater ini. Anjakan perbincangan daripada hal-hal yang abstrak beralih kepada hal yang lebih konkrit – dari hal masa depan ke ruang fizikal.
Mark dalam satu temubual turut menegaskan hal yang sama tentang pemilihan Dataran Merdeka sebagai satu idea sentral dalam pementasan ini. Ruang ini menjadi saksi terhadap banyak lagi agenda nasional. Ia juga disimbolkan sebagai satu hamparan yang secara fizikalnya terbuka tetapi namun masih tidak mengamalkan sifat ‘terbuka’. Hal ini dapat diperhatikan di dalam segmen yang dikendalikan oleh Fahmi Reza yang mempunyai pengalaman tersendiri dengan Dataran Merdeka. Aktiviti Occupy Dataran yang dihalang oleh pihak berkuasa sehingga menyebabkan beliau ditahan membuktikan bahawa agenda beliau tidak disenangi oleh politik arus perdana. ‘Keterbukaan’ Dataran Merdeka dipersoal dan dicabar.
Hampir kesemua mereka menceritakan pengalaman mereka secara langsung dengan Dataran Merdeka termasuk menghadiri ke acara TN50 dan Perhimpunan Bersih dan banyak lagi. Respon pelaku-pelaku dapat dilihat dan didengar dengan jelas berikutan pendekatan yang digunakan adalah lebih bersifat naratif berbanding secara abstrak – kecuali Ren Xin yang melakukan gerakan di atas hamparan hijau seperti kehilangan kata-kata untuk bercerita. Responnya terhadap Dataran Merdeka lebih menggunakan tubuh dan gerakan berbanding empat pelaku yang lain.
Terdapat juga adegan yang agak melankolik nadanya apabila Faiq menyanyikan lagu di dalam kegelapan. Sementara itu di dalam khemah, Roger memasang lampu suluh dan menggerak-gerakkan khemah secara perlahan-lahan mengikuti rentak lagu. Keseluruhan adegan ini memberi pengalaman yang sangat sinematik. Khemah tersebut kelihatan seolah-olah terapung-apung di udara dengan pergerakan yang puitis mengikut rentak lagu. Melalui adegan ini juga, saya merasakan bahawa keseluruhan teater ini mempunyai sentuhan sinematik yang sangat kuat. Ini dapat diperhatikan melalui pertukaran adegan yang kemas, permainan visual projektor, teknik penceritaan yang biasanya kita temui dalam filem-filem dokumentari. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa adakalanya ia mempunyai sedikit pengaruh filem dokumentari Amir Muhammad seperti Big Durian (2003), Lelaki Komunis Terakhir (2006) dan Apa Khabar Orang Kampung (2007). Pengalaman yang sinematik ini berkemungkinan dicapai kerana empat pelaku mempunyai pengalaman panjang bekerja dalam bidang filem, TV dan video. Berdasarkan keterangan bio dalam buku program, hanya Ren Xin seorang sahaja yang tidak mempunyai latar belakang pembikinan filem, TV dan video.
Saya mendapati bahawa Version 2020 adalah hasil penggalian Dataran Merdeka sebagai tapak arkeologi ideologi. Mark Teh menjumpai artifak-artifak lama di bawah hamparan besar ini berupa harapan dan idea tentang masa depan yang ditanam oleh pelbagai pihak. Dengan mengenakan lensa teater, masa depan, masa kini dan masa lalu diteliti semula, dipilih, digilap, disusun dan dipamerkan. Artifak-artifak ini dipersembahkan untuk tontonan umum untuk dinilai semula oleh penonton. Penonton perlu keluar dari susur masa supaya tidak menjadi sebahagian daripada artifak.
Saya mengambil masa yang lama menyiapkan tulisan ini. Pemahaman terhadap kerja-kerja arkeologi yang dilakukan oleh Mark Teh perlu difahami dahulu sebelum memahami teater dokumentari ini. Tanggapan saya bahawa Mark adalah seorang pembikin dan pengkaji teater turut berubah selepas cuba memahami Version 2020. Mark adalah seorang ahli arkeologi yang menggunakan teater sebagai galeri dan bahan pameran.
Version 2020 was staged in Kuala Lumpur from 15 to 18 March 2018 at Kotak, Five Arts Centre, TTDI. The performance premiered at Spielart Das Theaterfestival in München, Germany in October 2017, and travelled to Theatre Commons Tokyo in February 2018.