“One Two Jaga”: Keberanian Baharu Sinema Malaysia

Penyampaian kritikan sosial atau politik dalam filem-filem Malaysia jarang berlaku melalui suasana yang berani dan mendatangkan ghairah. Malah mengkritik melalui karya secara berdepan seperti sukar untuk dilakukan. Terdapat banyak hal yang menyumbang kepada keadaan ini. Ia antara lain ialah kekangan kebebasan kreatif yang ketara dan banyak aspek perundangan serta peraturan telah menjadi rantai memasung kaki dan tangan pengkarya khasnya pembikin filem.

Dalam keadaan terikat seperti itu, kritikan masih tetap disampaikan, namun ia dalam makna dan keadaan lebih halus, sesuai dengan makna seni itu sendiri. Maka dalam keadaan khalayak tidak terbina dengan pemahaman sinema secara jelas, kritikan-kritikan halus dan cuba bersikap sembunyi-sembunyi serta pukul belakang ini tidak ke mana-mana serta kurang difahami.

Pemahaman karya filem sebagai medium kritikan sosial dan politik untuk khalayak penonton yang besar dan utama amat sukar berlangsung di Malaysia. Susur dan galurnya panjang jika kita mahu mengetahui sebab utama, namun sudah tentu pendidikan dan apresiasi sinema menjadi antara yang penting sehingga Malaysia memiliki budaya penontonan filem seperti sekarang.

Director Nam Ron as Dato in a scene of his latest film, “One Two Jaga”

Maka dalam keadaan kelam seperti ini, muncul Nam Ron dengan filem terbarunya berjudul One Two Jaga. Filem ini membawa obor dan menyuluh dengan terang. Filem yang menyampaikan kritikan sosial dan politik secara berdepan. Ia filem yang berani. Filem yang menyelongkar hal-hal korupsi khasnya berkaitan dengan polis secara nyata dan jelas. Filem yang tidak gentar dengan apa-apa.

One Two Jaga mengisahkan Sugiman (Ario Bayu) seorang pendatang asing dari Indonesia yang juga seorang bapa tunggal. Anaknya Joko (Izuan Fitri)sering tidak mendengar kata dan terlalu banyak meluangkan masa dengan Adi, seorang lelaki dewasa yang juga anak majikannya, Pak Sarip (Azman Hassan). Adik Sugiman, Sumiati (Asmara Abigail) lari dari majikannya dan Sugiman meminta bantuan dari Pak Sarip untuk membantunya menghantar pulang Sumiati.

Hassan (Rosdeen Suboh) seorang anggota polis yang sudah berkahwin sentiasa mengalami masalah kewangan dan Hussein (Zahiril Adzim) seorang anggota polis muda yang idealis mengesyaki Hassan merupakan anggota polis yang kerap menerima rasuah.

Selain pergeseran antara Hussein, Hassan, Sarip dan Adi, kita juga didedahkan dengan apa yang berlaku antara watak Marzuki lakonan Iedil Putra dan Rico (Timothy Castillo) seorang pendatang asing dari Filipino,  dengan peranan yang dibawakan oleh Chew Kin Wah, Along Eyzendy dan watak Dato yang dilakonkan sendiri Nam Ron.

Pertembungan watak-watak ini telah mencetuskan konflik dan pergeseran yang mendebarkan dalam One Two Jaga.

Sebelum ini kita langsung tidak mempunyai peluang untuk menonton sebuah filem Malaysia yang membicarakan tentang rasuah dalam kalangan penguasa dan politikus secara nyata, jika ada pun ia sekadar satu selingan dan tidak dijadikan sebagai tumpuan utama. Malahan sebelum ini pun kebanyakan filem tentang dunia kepolisan di Malaysia diberikan isi yang molek-molek belaka. Namun ia bukan dalam One Two Jaga, ia menyelongkar realiti dan sikap sesetengah anggota polis yang tamak dan terdesak.

One Two Jaga boleh disifatkan sebagai tumbukan padu kepada industri filem Malaysia, ia melihatkan kepada kita satu harapan dan kebangkitan baharu bahawa filem-filem realisme seperti ini harus dibikin dengan lebih banyak di negara ini. Filem ini menyerlahkan hakikat bahawa selepas Jagat (2015) arahan Shanjey Kumar Perumal, api yang menyala untuk keberanian pembikin filem membakar tembok ketakutan yang dibina penguasa sebelum ini kian marak.

Satu hal yang menarik ialah filem ini bermain di garisan kabur, di garisan kelabu tentang apa itu kebaikan dan apa itu kejahatan. Ia menimbulkan sesuatu yang menjentik perasaan tentang bagaimana kebaikan dan kejahatan itu boleh bercampur-campur sehingga mata kita semua tidak lagi dapat menilai dengan jelas. Kita diberikan perasaan keliru dengan kecamuk rasuah melalui persoalan adakah watak Adi itu jahat, sedangkan ia membela nasib pendatang asing yang sering menjadi mangsa penindasan, atau adakah watak Hussein itu baik sedangkan ia memejam mata dalam paksa perbuatan korup rakannya sendiri.

Mungkin kekotoran politik dan sosial yang dilalui marhaen sudah menjadi subjek biasa dalam filem-filem Indonesia atau Filipina, namun di Malaysia ia masih asing, walaupun itu ialah hakikat yang dilalui setiap hari.

Mengenali Nam Ron melalui karya-karya teaternya seperti Matderihkolaperlih, Laut Lebih Indah Daripada Bulan, Aku Nak Jadi Bintang dan Lembu kita melihat beliau sememangnya dekat dengan dunia lelaki, dunia maskuliniti. Malah karya-karya teater Nam Ron ini tidak dapat lari daripada bercakap tentang politik dan isu-isu sosial termasuk rasuah.

Lebih menarik dalam teater-teater Nam Ron, watak lelaki yang ditampilkan walaupun ia kelihatan gagah dan berkuasa, namun ia ditelanjangkan sebagai lelaki yang lemah dari sudut pemikiran dan tidak mempunyai kekuatan dalam melawan penindasan yang dihadapinya.

Bentuk perwatakan seperti ini dilihat kekal dibawa Nam Ron dalam One Two Jaga. Kita melihat One Two Jaga memaparkan sisi Kuala Lumpur yang gelap dan dikuasai lelaki-lelaki yang kelihatannya kuat dan berani, namun masing-masing tewas dengan desakan yang dihadapi. Watak-watak anggota polis lelaki di dalam filem ini semuanya berhalangan dan tidak mampu, malah akan tunduk terhadap penindasan, mereka gagal menjadi anggota polis yang benar dan jujur.

Ia seperti satu maze yang memerangkap, tiada jalan keluar dan penuh dengan kebuntuan. Itulah gambaran masalah rasuah yang kian membengkak dan cuba ditafsirkan oleh Nam Ron. Setiap watak sedang terperangkap dan terus gagal mencari jalan keluar. Gaya Nam Ron menyusun dan membuatkan kita faham bahawa masalah rasuah ini bukan mudah dan berlingkar sehingga ke atas juga begitu menarik untuk disaksikan.

Asmara Abigail as Sumiati and Ario Bayu as Sugiman in a scene from Nam Ron’s “One Two Jaga”

Selain hal rasuah melibatkan polis, One Two Jaga juga menjadi ruang terpenting menyingkap nasib dan kehidupan dilalui golongan pendatang asing di Malaysia. Ia seperti subjek yang jarang diterokai dalam filem di negara ini. One Two Jaga cuba memberikan pengertian tentang gelora pergelutan golongan ini.

Persembahan setiap pelakon di dalam filem ini cemerlang dan meyakinkan, lebih-lebih lagi Zahiril Adzim sebagai Hussein, Rosdeen Suboh sebagai Hassan, Amerul Affendi sebagai Adi, Azman Hassan sebagai Sarip, Ario Bayu sebagai Sugiman dan Asmara Abigail sebagai Sumiati. Setiap daripada mereka merupakan tunjang terpenting kepada filem ini. Keserasian Nam Ron secara peribadi dengan pelakon-pelakon ini juga membuatkan filem ini mampu berdiri dengan baik.

Malah pelakon-pelakon pembantu seperti Chew Kin Wah dan Along Eyzendy serta cameo Sabri Yunus dan Shahrolnizam Nor juga cemerlang.

Pendekatan Nam Ron bermain dengan ruang dan masa di dalam filem ini juga amat menarik. Lihat bagaimana ia menyingkap kehidupan satu hari sebagai anggota polis. Ia tidak memerlukan satu masa yang panjang, ia hanya bertujuan untuk kita jelas tentang apa yang dialami oleh anggota polis ini dalam masa satu hari dan bagaimana satu hari itu boleh menyebabkan pelbagai hal berlaku. Permainan ruang di dalam kereta, bilik hotel, lorong, kawasan pembinaan, bengkel dan sebagainya dibuat dengan tepat untuk melihatkan kepada kita bahawa ini ialah filem tentang marhaen dan dunia kotor.

Pendekatan pengarahan Nam Ron juga menarik kerana berjaya membentuk wajah sederhana yang dimahukannya di dalam filem ini. Malah suntingan oleh Razaisyam Rashid juga membuatkan tempo filem ini bergerak lancar dan munasabah tanpa ada kecanggungan yang tidak dimahukan.

Sinematografi oleh Helmi Yusof dilihat cermat dalam membentuk imej sebuah kota penuh kekotoran dan gelap. Malah banyak close-up yang digunakan memberi makna untuk penonton mendalami kehidupan yang dilalui setiap watak-watak yang ada. Pergerakan kameranya jelas memacu mood filem ini sehingga ke hujungnya, mengamati resah dan gelisah dengan tepat.

Skrip tulisan bersama Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron melalui cerita asal daripada Fared Ayam, Amri Rohayat dan Nam Ron juga menjadi kekuatan terpenting buat filem ini. Penyusunan teratur karakter dan plot serta dialog realistik membuatkan One Two Jaga mencipta perasaan puas kepada penonton.

Menggerakan dua kisah secara selari dan mencantumkannya dengan baik memberikan kesan lebih kuat terhadap One Two Jaga, kita dapat menyaksikan bagaimana Nam Ron berusaha memberikan tanggapan menyeluruh terhadap masalah rasuah ini.

Namun begitu, konflik watak Marzuki dan Rico yang tidak diberikan ruang secukupnya untuk berkembang dengan baik membuatkan penonton mungkin sedikit tertanya-tanya tentang apa terjadi sebenarnya.

Babak hujan di hujung One Two Jaga berjaya diolah dengan baik dan memberikan kita pemahaman bahawa Tuhan sedang cuba membersihkan semua kebaikan dan kejahatan yang sedang bercampur-campur itu.

One Two Jaga ialah antara filem terbaik dihasilkan Malaysia untuk tahun ini, malah mungkin untuk tempoh lima atau 10 tahun ke belakang. Nam Ron sudah membuktikan keberanian untuk membikin One Two Jaga, namun sikap berani-berani takut masih menyelubungi penguasa apabila banyak dialog-dialog yang ditapis sehingga menimbulkan gangguan semasa menonton. Malah tapisan itu bukanlah untuk kata-kata kurang enak semata-mata, tetapi juga untuk kata-kata berbaur politik.

Jelas Nam Ron berjaya memukul secara berdepan dan kini terpulang kepada penguasa untuk mula memahami bagaimana seharusnya kebebasan kreatif berfungsi dalam khalayak umum.


One Two Jaga: Crossroads,  arahan  Nam Ron, dengan skrip oleh  Nam Ron, Pitt Hanif, Amri Rohayat, Ayam Fared dan Muhammad Syafiq, buka di  Malaysia pada  6 September 2018. Maklumat tayangan di sini.

About the author(s)

Penulis Undangan, Daniyal Kadir banyak menulis ulasan filem dan artikel mengenai isu-isu berkaitan sinema Malaysia. Di samping itu beliau aktif dalam program-program apresiasi sinema tempatan. Beliau turut menulis sebuah buku pada tahun 2015 berjudul Membedah P.Ramlee yang mengupas pelbagai aspek penting dalam filem-filem arahan legenda filem Malaysia, P.Ramlee.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top