Rahim Razali. Photo credit: ZSA Productions.

Ke Mana Tumpahnya Tuah… Kalau Tidak Ke Hati

Dalam dunia filem, terdapat pelbagai canggah dan cabang yang membuatkan filem tersebut menarik. Daniyal Kadir meluahkan perspektifnya tentang filem "Spilt Gravy" dengan tumpangan pendapat berkaitan penapisan filem.

Penggiat teater Malaysia, Fasyali Fadzli, dalam satu tulisan belasungkawanya ketika mengenang pemergian Jit Murad pada 12 Februari 2022, telah memberikan kesimpulan bermakna untuk kita mengenali susuk ini. Fasyali melihat Jit sebagai seniman yang dekat dengan karya bersifat komedi dengan kecenderungan mendedahkan realiti dan kepincangan sosial masyarakat bandar. Jit pada Fasyali berani menelanjangkan hipokrasi masyarakat, khususnya orang Melayu. Malah dalam pemerhatiannya, Fasyali melihat Jit mempunyai kepintaran dalam meneroka kepelbagaian persoalan tabu dalam masyarakat Melayu di negara ini.

Rumusan dibuat Fasyali tentang kekuatan jenaka dibawakan Jit tepat dan dapat diperhatikan dalam filem Malaysia, yang dinanti-nantikan selama ini, Spilt Gravy / Ke Mana Tumpahnya Kuah... arahan Zahim Albakri, yang diadaptasi daripada teks pementasan teater tulisan Jit sendiri. Filem ini telah menempuh ranjau panjang sebelum akhirnya menemui penonton di panggung wayang di Malaysia, bermula 9 Jun 2022. Teater ini pertama kali dipentaskan di Actors Studio, Bangsar, Kuala Lumpur pada Ogos 2002 dan kemudian semasa Boh Cameronian Arts Awards yang pertama pada tahun 2003, ia memenangani empat anugerah iaitu Skrip Asal Terbaik, Pengarah Terbaik, Rekaan Cahaya Terbaik dan Anugerah Pilihan Penonton.

Selain kekuatan Jit Murad, filem ini juga memberikan pengertian besar dalam kita mengenang kesan penapisan filem terhadap karya yang dihasilkan. Spilt Gravy siap sekitar tahun 2012 dan pada tahun yang sama pihak penerbitan menghantar permohonan kepada Lembaga Penapis Filem (LPF). Namun begitu, filem ini menerima keputusan tidak lulus untuk tayangan atas alasan ia tidak sesuai untuk ditayangkan secara meluas. Namun begitu, dalam tempoh berkenaan pihak penerbitan tidak berputus asa dan mencuba menghantar pelbagai versi untuk dinilai oleh LPF. Pada Mac 2020, akhirnya filem ini diluluskan dan menerima klasifikasi PG-13. Selepas panggung wayang beroperasi seperti biasa selepas negara memasuki fasa endemik, akhirnya rakyat Malaysia berpeluang menikmati Spilt Gravy.

Berdasarkan maklumat daripada pihak penerbitan, perbezaan versi terkini dan asal adalah sangat sedikit dan ia melibatkan antara lain kata-kata kesat disenyapkan serta penamatnya yang diberikan alternatif. Namun penantian 10 tahun tetap panjang dan filem ini juga boleh dijadikan kisah klasik permasalahan penapisan filem di Malaysia.

Bapak (Rahim Razali) dan Darwis (Na’a Murad). Photo credit: ZSA Productions

Spilt Gravy memberikan kita peluang melihat gelora kehidupan Melayu kelas pertengahan di Kuala Lumpur yang ditonjolkan melalui sebuah keluarga, Bapak, dengan lima anak dewasanya, bersifat dysfunctional.  Jit, Zahim dan June Tan, bersama  berjaya menterjemahkan naskhah asal Jit ini dengan teliti dan bersahaja. Kekuatan arahan Zahim dapat diperhatikan apabila beliau berjaya memberikan keseimbangan dalam setiap karakter yang muncul. Bukan kerja mudah untuk membentuk kesepaduan lakonan apabila ia melibatkan watak yang ramai dan latar belakang yang berbeza, namun di tangan Zahim, ia nampak berjalan lancar.

Penonton diberikan peluang untuk memahami dan mendalami setiap karakter. Bapak (Rahim Razali) pengamal poligami yang berlatar pendidikan barat, bekas wartawan, gemar membaca, mempunyai pandangan luas. Namun, dalam masa sama, bermulut manis dan pintar memikat perempuan. Walaupun begitu, Bapak mempunyai pegangan terhadap agama dan adat budaya. Ini ditampilkan melalui kesungguhannya bangun pagi untuk bersolat, selain mempunyai keprihatinan tinggi terhadap seni kulinari tradisional Melayu.

Bapak sendiri melalui kesepian dan kesunyian, dan dalam masa sama, sering terpanggil dengan memori dan kenangan silam yang sukar dilupakannya. Bapak seperti terperangkap dengan kegemilangannya ketika muda dan kerancakan hidup yang menyeronokkan. Teman Bapak di waktu tuanya hanyalah Darwis (Na’a Murad), anaknya yang selalu menganggap dirinya dipinggirkan dan masih mengungkit tentang kek hari jadinya yang kosong semasa kanak-kanak. Darwis menjadi perantara antara Bapak dan anak-anaknya lain. Kehidupan Darwis juga ditampilkan kosong dan sepi. Berbanding dengan bapanya yang berpoligami dan kematian isteri, Darwis pula berdepan keadaan bertentangan apabila perkahwinannya tidak bertahan lama dan hidupnya hanya berkisar tentang pekerjaan dan rutin. Darwis merupakan seorang pensyarah bahasa Inggeris.

Zak (Zahim Albakri) merupakan anak sulung, tetapi kehidupannya tidak tentu arah dan terlibat dengan dadah. Zak juga dilihat sering meminta wang daripada adik-beradiknya yang lain serta dipandang sebagai kambing hitam dalam keluarga. Kalsom (Bernice Chauly) pula merupakan seorang penggiat seni yang aktif dengan teater dan kemudian sedang mencuba untuk membikin filem sendiri. Beliau tegar dengan perjuangan wanita dan karya-karyanya cuba meneroka isu-isu feminisme. Namun ada dilema yang dimunculkan apabila filem ini menimbulkan persoalan sama ada Kalsom benar-benar mendalami permasalahan yang dibawakan dalam karyanya atau dia juga sebenarnya sedang tersangkut dalam kecurigaan dan kekeliruan.

Kita juga diberikan Husni (Sean Ghazi), seorang yang berjaya dalam kerjaya, namun mempunyai sisi kehidupan yang disembunyikan. Husni mempunyai hubungan yang erat dengan adiknya, Zaitun (Juliana Ibrahim) yang merupakan seorang wanita manja yang tidak berbuat apa-apa dalam kehidupan, selain menghabiskan masa di spa dan kompleks membeli-belah. Malah walaupun mempunyai kelapangan seperti itu dalam hidup, dia tidak meluangkan masa secukupnya dengan anak dan suaminya.

Filem ini mempunyai unsur teater yang kuat dan ini dapat diperhatikan kepada teknik lakonan dan pembentukan babak. Malah ia sangat bergantung kepada kekuatan dialog. Walaupun visual yang ditampilkan adalah minima, namun ia sebenarnya lebih dari mencukupi untuk menampilkan keberkesanan dalam setiap babak. Banyak babak yang kekal dan senang diingati misalnya ketika Zak mengacau sesi previu Kalsom, dua ‘malaikat’ (Jit Murad dan Harith Iskander) turun dari ERL untuk melaksanakan tugas mencabut nyawa bapak dan babak akhir yang melihatkan setiap adik-beradik ini dirasuk roh Bapak untuk mereka masing-masing memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam sejarah kehidupan mereka.

Husni (Sean Ghazi) dan Asri (Carliff Carleel). Photo credit: ZSA Productions.

Filem ini mempunyai emosi yang bercampur, selain penyusunan cerita yang berselerak, namun memberikan pengertian bermakna. Ia jelas mempunyai struktur kekalutan yang dijelmakan dalam setiap watak. Filem ini sebenarnya satu penampar kuat yang hinggap di pipi masyarakat Melayu kelas pertengahan yang hidup dalam keadaan tidak menentu dan kadangkala terlupa identiti dan sifat asal. Jeritan Amerul Affendi tentang “Melayu Sesat” dan karakter Nam Ron yang terlibat dalam tragedi berdarah 13 Mei, tetapi dalam masa sama melakukan sesuatu yang terkutuk terhadap kanak-kanak lelaki sehingga mendatangkan trauma memanjang dalam kehidupan mangsanya juga merupakan sindiran besar dalam filem ini.

Spilt Gravy ini sebenarnya mengungkit hipokrasi masyarakat dan ia jelas dimunculkan melalui karakter-karakter LGBT. Gembira untuk melihat karakter-karakter seperti ini muncul dalam layar perak di Malaysia dan diberikan keadilan yang sewajarnya. Sebelum ini dalam sinema Malaysia, karakter seperti ini muncul sebagai tempelan dan dijenakakan, namun dalam Spilt Gravy, karakter-karakter ini yang menjenakakan kita.

Zahim dan kawan-kawan berjaya membuatkan penantian lebih 10 tahun ini sebagai sesuatu yang berbaloi. Kita dihidangkan dengan sebuah filem yang mencuri perhatian, komedi dan tragedi dalam satu waktu, sederhana dan pasti akan dikenang sebagai antara filem penting Malaysia. Di sebalik segala kekalutan yang muncul, kasih sayang tetap berada di hadapan, sehingga malaikat pun menangguhkan kerjanya untuk memberikan peluang kepada kita menyaksikan pementasan sebuah keluarga (Malaysia).

Spilt Gravy / Ke Mana Tumpahnya Kuah…  arahan Datuk Zahim Albakri ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 9 Jun 2022. Maklumat tayangan di sini.

About the author(s)

Penulis Undangan, Daniyal Kadir banyak menulis ulasan filem dan artikel mengenai isu-isu berkaitan sinema Malaysia. Di samping itu beliau aktif dalam program-program apresiasi sinema tempatan. Beliau turut menulis sebuah buku pada tahun 2015 berjudul Membedah P.Ramlee yang mengupas pelbagai aspek penting dalam filem-filem arahan legenda filem Malaysia, P.Ramlee.

1 thought on “Ke Mana Tumpahnya Tuah… Kalau Tidak Ke Hati”

  1. Pingback: ArtsEquator: Ke Mana Tumpahnya Tuah… Kalau Tidak Ke Hati – Spilt Gravy

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top