Menyanggah yang Ditegah dalam ‘Teater Modular’

Ridhwan Saidi mungkin nama yang agak asing bagi penggiat teater Malaysia namun beliau telah lama menempa namanya dalam penulisan kontemporari di Malaysia melalui penulisan novel, cerpen, artikel dan puisi. Beliau yang telah menghasilkan enam buah novel di bawah penerbitannya sendiri iaitu Moka Mocha Ink dan juga Buku Fixi. Selain itu cerpen-cerpennya turut diterbitkan di dalam buku, akhbar, laman web dan juga secara penerbitan mandiri. Teater Modular adalah percubaan pertama Ridhwan menulis drama pentas. Ia telah dipentaskan pada 15 – 19 Mac 2017 di Bilik Sempit milik Revolution Stage. Sebanyak empat playlet yang bertajuk Melihat Setan Bekerja, Panik di Pusat Undi, Brokoli dan Malam Pertama yang masing-masing diarahkan Fahmi Harun, Sak Don, Walid Ali dan Qiu Qatina. Boleh dikatakan semua ahli produksi yang terlibat adalah daripada kalangan graduan baru universiti tempatan. Pementasan oleh kumpulan amatur ini walaubagaimanapun berjaya menampilkan kelainan yang mengejutkan dan berani ketika lambakan teater-teater alternatif yang giat dipentaskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Teater Modular_melihatsetanbekerja2
Meihat Setan Bekerja. Foto, Moka Mocha Ink

Tidak seperti teater alternatif yang lain (atau disebut juga teater indie, atau teater miskin, atau teater runcit, atau teater skala kecil atau yang seumpamanya) Teater Modular sangat berani dan kritis dalam penulisannya. Kekuatan pementasan terbitan bersama lima produksi ini terletak kepada skrip penulisan Ridhwan yang agak tegas menyatakan pemikirannya. Menampilkan tema-tema seperti politik, seks dan agama dalam 4 playlet tersebut, Ridhwan cuba merungkaikan persoalan binari yang sentiasa wujud dalam persekitaran moden Malaysia. Persoalan baik-jahat, hitam-putih, pahala-dosa, halal-haram, suami-isteri dan ubah-kekal terpancar jelas melalui skrip-skripnya ini. Ridhwan cuba mengajak penonton untuk melihat kejanggalan yang ditampilkan dalam nada komedi gelap.

Teater Modular_melihatsetanbekerja1
Melihat Setan Bekerja. Foto, Moka Mocha Ink

Di dalam naskhah Melihat Setan Bekerja, konsep kewujudan syaitan dan agama dibincangkan dengan penuh filosofikal. Lakonan Amirul Shakir yang melakonkan dua watak sekaligus turut dibawa dengan baik. Konflik dua watak ini yang akhirnya menjurus kepada persoalan modeniti dalam pegangan agama mencadangkan sesuatu yang tidak pernah dibincangkan dalam teater berbahasa Melayu di Malaysia. Teater yang bermula seolah-olah teater dakwah Islam kemudiannya bertukar 360 darjah apabila watak Lelaki menandatangani kontrak Ateis dengan darahnya untuk menghapuskan konsep kewujudan syaitan. Adegan ini adalah sesuatu yang mengejutkan namun disampaikan dengan penuh filosofikal tanpa menjadi terlalu bijak dan didaktik. Tajuk naskhah yang mirip kepada kumpulan puisi Melihat Api Bekerja (tulisan M. Aan Mansyur) sangat puitis dengan caranya yang tersendiri. Persoalan moraliti yang sering dikaitkan dengan agama cuba diruntuhkan oleh Ridhwan dengan cara yang segar.

Teater Modular_panikdipusatundi
Panik Dipusat Unid. Foto, Moka Mocha Ink

Diskusi tentang politik dan demokrasi pula dibincangkan dalam Panik di Pusat Undi. Naskhah ini mengisahkan tentang Malik dan Zakir yang sedang menunggu kehadiran pengundi hantu yang diupah oleh wakil rakyat untuk membuang undi. Namun pengundi hantu tersebut tidak datang. Demokrasi akhirnya hampir berjaya diselamatkan dengan kehadiran seorang lelaki tua. Malangnya, semasa hendak memasukkan kertas undi di dalam peti undi, lelaki tersebut diserang penyakit jantung dan mati secara tiba-tiba. Dengan nada satira, naskhah ini cuba memberikan gambaran tentang demokrasi yang tidak wujud. Alergori pengundi hantu dan pengundi berdaftar yang sakit secara tiba-tiba memberikan gambaran bahawa demokrasi tidak mampu untuk wujud di dalam dunia ini dan jika wujud pun ia dalam keadaan yang tenat. Ridhwan tidak meletakkan geografi tertentu tetapi kita dapat merasakan ia membawa persoalan dan landskap politik tempatan yang bakal berakhir dengan tragedi dan statik.

Panik Dipusat Undi. Foto, Moka Mocha Ink
Panik Dipusat Undi. Foto, Moka Mocha Ink

Brokoli merupakan naskhah paling awal ditulis Ridhwan. Ia adalah ekstrak daripada novelnya bertajuk Amerika. Brokoli mengisahkan tentang Din, seorang pelakon baru yang jatuh cinta dengan Sofia, seorang primadona. Amirul Shakir yang memegang watak Din berjaya menampilkan sisi naif naskhah ini. Walaupun masing-masing bekerja di dalam industri filem lucah, namun persoalan tentang halal dan haram masih wujud di dalam dunia mereka. Watak yang kita lihat seolah-olah tiada pegangan agama masih memegang nilai-nilai moral yang tidak kita fahami. Sofia menolak untuk mengadakan hubungan seks dengan Din demi menjaga integritinya sebagai pelakon filem lucah walaupun Din benar-benar mencintai Sofia. Ini sesuatu yang di luar jangkauan dan perbincangan biasa naskhah-naskhah teater Malaysia. Premis ceritanya walaupun sensual namun ia lebih menjurus kepada persoalan integriti dan moraliti.

Brokoli. Foto, Moka Mocha Ink
Brokoli. Foto, Moka Mocha Ink

Kejanggalan demi kejanggalan muncul dalam nada jenaka yang sangat gelap. Melalui Malam Pertama, sepasang suami isteri gagal berkomunikasi dengan baik kerana perbezaan bahasa pertuturan. Sewaktu hendak mengadakan hubungan kelamin, datang seorang lelaki watak Penterjemah untuk membantu pasangan ini memulakan hubungan kelamin mereka. Pasangan ini kemudiannya berjaya mengenali hati budi masing-masing dengan khidmat orang tengah. Namun, khidmat orang tengah ini juga dilanjutkan sehingga ke hubungan kelamin. Ridhwan sendiri menerangkan bahawa kejanggalan ini menjadi tema dalam cerita ini di mana ruang intimasi ini diceroboh oleh suatu entiti lain. Namun, orang asing ini tidak menjadi asing kerana ia bertukar menjadi sesuatu keperluan sehingga ia tidak dianggap asing dan aneh bagi pasangan ini. Aksi adegan terakhir di mana watak Penterjemah yang baring di tengah-tengah antara pasangan ini sesuatu yang sangat provokatif sehingga menimbulkan persoalan tentang seksualiti watak Suami. Aksi ini seolah-olah memberi gambaran bahawa seksualiti adalah sesuatu yang cair dan tidak tetap. Pementasan yang diarahkan oleh satu-satunya pengarah wanita iaitu Qiu Qatina menawarkan aksi-aksi yang bukan sahaja sensasi tetapi penuh provokasi pemikiran.

Malam Pertama. Foto, Moka Mocha Ink

Keempat-empat naskhah ini dipentaskan dengan penuh kesegaran. Temanya yang berat disampaikan dengan penuh filosofikal tetapi dalam jenaka yang naif. Pelakon dan pengarah tidak perlu menjadi terlalu bijak mentafsir pemikiran Ridhwan Saidi. Dengan tona persembahan yang agak kasar dan penuh kenaifan pementasan ini memberikan perspektif yang pelbagai untuk ditafsir oleh penonton. Konsep binari yang sangat struktural diceroboh dengan menampilkan kejanggalan yang nakal dan mengancam sekaligus membuatkan kita cair dalam absurditi versi Ridhwan Saidi. Politik, seks dan agama wujud secara harmoni dalam Teater Modular.

Teater Modular_cast_1


Teater Modular, 15 – 19 Mac 2017 di Bilik Sempit, Revolution Stage Kolaborasi 5 produksi: Luar Kotak, Aksara Seni, The Oppressed Production, Moka Mocha Ink dan Asterix Anak Seni.

About the author(s)

Fasyali Fadzly merupakan seorang pengarah, dramatis, penyelidik dan pendidik yang bergiat di Kuala Lumpur sejak awal tahun 2003. Beliau telah menulis dan mengarah lebih 20 buah teater. Pada tahun 2014, Fasyali dianugerahkan Pengarah dan Penulis Terbaik dalam Boh Cameronian Arts Award. Teaternya pernah dipentaskan di Malaysia dan luar negara seperti Jepun, Indonesia, Singapura, Canada dan Republik Czech selain jemputan menjadi panel untuk acara dalam dan luar negara. Beliau turut menulis artikel berkaitan teater dan diterbitkan dalam majalah dan portal tempatan serta antarabangsa. Selain itu, beliau merupakan salah seorang penyelidik bagi projek arkib teater Malaysia, My Art memory Project sejak tahun 2017. Fasyali kini berkhidmat di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top