Langkau sebuah joget sinkretik, joget fizikal, atau malah joget pascamoden (jika boleh kita gelarkan) yang berlingkar tentang sebuah mesin basuh yang bertanya. Ceritanya metafiksyen yang straight-forward dan salah satu poin reviu ini adalah untuk articulate ia tentang apa. Kerana dari judul, sinopsis dan teaser rata-rata ia tidak mendedahkan dengan jelas sebenarnya Langkau ini fasal apa. Perlu dijelaskan di sini bahawa pada saya, isu social-phobia yang disentuh dalam pementasan ini cuma McGuffin. Dan ia juga tidak abstrak dalam erti kata: werk ini agak koheren dengan tema dan metafora yang ia gunakan.
Pementasan kedua Langkau di Pentas 2, KLPAC pada 4-6 Ogos 2017 ini merupakan kerjasama Pentasila dan KLPAC, dengan sokongan The Actors Studio Seni Teater Rakyat. Kali pertama ia dipentaskan di Black Box, Aswara pada tahun 2016.
Saya guna istilah ‘joget’ antaranya sebab hampir setiap adegan diaksikan secara berpasangan (tiada performans solo seperti yang dimahukan Failull), dan dalam joget, pasangan ini akan saling teasing and playing with one another, tetapi di dalam kes Langkau, yang di-tease dan dimainkan ialah audien. Assault terganas para performer ini adalah ketika mereka memaksa audien imaginari (dalam adegan ini mereka sedang rehearsal) untuk tengok mereka. Momen ini antara sentuhan paling hampir dengan aspirasi theatre of cruelty Artaud yang pernah saya saksikan di Malaysia.
Mesin basuh front-loader dobi layan diri sebagai metafora juga berkesan. Persis baju dan seluar dan karpet yang berputar di dalam mesin—meski joget esensi keseluruhan pementasan—ia juga punya secubit Samuel Beckett’s Quad dan Tanztheater-esque punya gerakan (sewaktu Shahrul Mizad menolak dirinya berputar dalam satu paksi persis mesin basuh). Tetapi kita perlu jelas ia tidak se-precise dan semekanikal gerak tari Eropah, kerana ia bukan mahu dekonstruk ballet, tetapi sedang dekonstruk joget Melayu. Poin utama joget Melayu bukan perfection atau rigorous hardcore training, tetapi the teasing dan playfulness (dalam medium bertulis ia mendekati pantun mengorat) yang sudah saya jelaskan tadi dan ini ketara di dalam semangat persembahan dan kerana itu ia fun dan kelakar.
Langkau digerakkan oleh lima sosok iaitu Fasyali Fadzly (watak pengarah), Shahrul Mizad dan Iefiz Alaudin (watak dengan latar teater) dan Murni Omar dan Failull Adam (watak dengan latar tari). Realiti dan fiksyen disamarkan dalam pementasan ini dan begitu juga latar waktu di mana rehearsal dan show sebenar bertemu. Latar tempat juga saling timbal balik dari Pentas 2, KLPAC ke dobi layan diri (yang disokong pancaran projektor). Semangat juxtaposisi ini paling ketara dan prominent melalui babak selfie di antara Shahrul dan Iefiz, di mana mereka tidak duduk di dalam satah viewpoint yang sama. Ia di dalam momen ini kita sedar ia kontemporari, bukan secara teknik, tetapi dalam bentuk penerapan gesture-gesture biasa dan semasa ke dalam teknik sedia ada.
Di dobi layan diri, kedua-dua penari Murni dan Failull menjadi mesin basuh yang bertanya. Mereka tanya kenapa manusia pakai baju dan seluar, dan mereka juga tanya kenapa mesin basuh banyak tanya. Kedua-dua pelakon Shahrul dan Iefiz pula menjadi pengguna awkward yang berkongsi ruang itu. Situasi di dobi layan diri ini, kadang-kala melangkau ke gerakan-gerakan yang menangkap semangat putaran mesin basuh, dan kembali ke ruang rehearsal para performer ini. Pertukaran babak yang mendadak ini persis henjutan perubahan tugas mesin basuh dari wash ke rinse atau rinse ke spin atau mesin itu terhenti sendiri sebab tak cukup air atau sesuatu (ada bahagian di mana buat seketika, karakter (dan audien?) perlu membayangkan diri mereka sebagai anak Rosmah Mansor).
Banyak jenaka one-liner intertekstual disampaikan antaranya: Iefiz tiba lambat ke rehearsal dan mengatakan dia terima tawaran untuk berlakon teater Kandang[1] (yang akan dipentaskan minggu depan in real time), dan Fasyali sebagai pengarah membalas, “Baru berlakon Kandang perangai dah macam babi.”
Ensembel kelima-lima sosok ini sewaktu rehearsal juga ada nuansa childlike di mana kita ada karakter yang manja, mengada-ngada, dan bukan untuk disukai sangat (sebagai contoh ada watak menyebut istilah ‘Bangla’ dan ‘muka pecah’ dengan konotasi tipikal tanpa sebarang subversion) tetapi kita memahami mereka. Satu-satunya watak paling serius ialah director yang kerap berhubung dengan seseorang yang menjaga bahagian teknikal di belakang audien.
Salah satu karakter mengatakan, “Malaslah (teater) fizikal, fizikal ini,” lalu berbaring atas lantai. Manakala satu lagi karakter pula mahu perform solo, yang tidak akan kita dapat, sebaliknya kita diberikan adegan terakhir yang hebat, iaitu siluet hieroglyph sejarah teater manusia dari tamadun Yunani dan Mesir dan Elizabethan dan Bangsawan melintas dengan latar muzik opera(?), seolah sejarah-sejarah ini baju atau seluar yang sedang disidai di bawah jemuran matahari.
[1] Kandang ialah adaptasi Animal Farm oleh George Orwell yang melibatkan karakter-karakter haiawan babi, arahan Omar Ali dan akan dipentaskan di ruangan yang sama, Pentas 2, KLPAC seminggu selepas Langkau.