Thinking and Talking about Arts and Culture in Southeast Asia

Masalah Sastera Di Malaysia Baharu

Views: 2329

Oleh Faisal Tehrani

(1, 175 patah kata, 9-minit bacaan)

Click here to read this article in English. Klik di sini untuk baca rencana ini dalam Bahasa Inggeris.

Saya harus berjujur, kita ada masalah dengan sastera kita, dan saya jujur sahaja; saya tidak tahu apakah solusinya. Akan tetapi, sebelum kita ke takah untuk menyelesaikan masalah tersebut; ada baiknya kita juga menjujurkan diri untuk mengakui apakah masalah yang ada. Harapannya adalah, dengan kejujuran itu; kita akan dapat merenung diri, dan memikirkan bersama-sama untuk membaiki masalah kita ini.

Masalah yang saya maksudkan ada beberapa, akan tetapi saya hanya akan mencatatkan dua. Saya berharap, dalam tempoh mendatang – lima tahun, sepuluh tahun – selepas perubahan besar yang dilakukan rakyat pada 9 Mei 2018 lalu di Malaysia, kita akan dapat mengatasinya. Jika tidak, kita mungkin akan terpaksa menanti selama 60 tahun yang lain untuk membetulkan.

Sastera Kebangsaan

Masalah yang pertama adalah dilema sastera kebangsaan. Benar, bahasa Melayu (atau ada yang menggunakan istilah bahasa Malaysia) adalah bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, sastera Melayu mendapat tempat lebih istimewa berbanding bahasa-bahasa lain dalam pengiktirafan sastera kebangsaan di negara kita, Malaysia. Walaupun di hati kecil kita, kita tahu bahawa sastera yang baik, adalah sastera yang baik untuk manusia tidak kira dalam bahasa apa pun. Mengapa harus ada kekangan bahasa, bukan?

Kita juga acap kali meneguhkan ikrar bahawa sastera yang tulen harus dikarang dalam bahasa ibunda.

Di situlah pertikaian berlaku, bahawa tidak semua dalam kalangan kita berbahasa ibundakan bahasa Melayu. Untuk mereka yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Tiongua, atau India; mungkin sahaja bahasa mereka adalah Mandarin, atau Kantonis, atau Tamil, atau Urdu dan itu belum lagi memasukkan teman kita yang lahir dan besar dari keluarga Iban, Dayak, Melanau atau Kadazan. Mereka juga punya bahasa ibunda. Ya, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, di baca di sekolah dan digunakan seharian dalam kehidupan. Di sisi lain, kita juga ada teman-teman pengarang yang tumbuh, dewasa, dan atas alasan apa pun menulis di dalam bahasa Inggeris. Itulah bahasa yang baik untuk lidah mereka, di jari jemari mereka. Kita tak perlu menyalahkan.

Akan tetapi, sastera adalah ekspresi rasa, fikir, ilmu dan budaya. Dan jika itu semua lahir dari rahim bahasa bukan Melayu, apakah ia sastera non kebangsaan?

Ya, kita mula kembali ke titik sifar. Bahawa konon ia sudah dibincangkan, dan sudah selesai dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan atau Kongres Budaya puluh tahun yang lalu.

Tidak benar. Ia tidak selesai. Tidak semua dalam kalangan kita diwakili ketika dasar atau kongres itu lahir.

Jadinya, mereka yang menulis dalam Mandarin berhijrah ke Taiwan dan mencipta nama di sana, dalam bidang kesusasteraan. Antara lain rakyat Malaysia yang mencipta nama di dalam sastera Cina Seberang Laut adalah Li Yongping, Ng Kim Chew, Chang Kuei Hsien, Ho Sok Fong dan Li Zi Shu. Karya mereka dipercayai berkualiti tinggi. Kita orang Melayu, tidak pernah membacanya dan tidak tahu benar atau salahnya hujah itu. Bagaimana jika pengarang dari sastera Mahua ini dinafikan sebagai Malaysia, mereka masih memegang pasport Malaysia.

Saya belum mendengar yang berbangsa India cuba mencipta nama di Mumbai, tetapi teman pengarang yang menulis dalam bahasa Inggeris dari Malaysia sudah ada yang meraih perhatian Man Booker Prize dan Commonwealth Prize. Nama itu seperti Tash Aw, Tan Twan Eng, dan Preeta Samarasan memang diperhatikan di Barat.

Apakah kita mengiktiraf mereka?

Jika suatu hari ada dalam kalangan pengarang Malaysia yang menulis dalam bahasa Mandarin, atau Inggeris meraih Hadiah Nobel untuk kesusasteraan sebagai misalan, adakah mereka akan dianggap seorang sasterawan Malaysia?

Sastera Islam

Berkait dengan perkara pertama adalah sastera Islam. Oleh sebab sastera kebangsaan yang diiktiraf di Malaysia adalah sastera Melayu, yang ramai menulisnya adalah orang Melayu. Di dalam perlembagaan Malaysia, malangnya Melayu haruslah Islam. Apabila suhu keislaman seseorang Melayu meningkat, ia juga menjadi identiti budaya dan kemudiannya seni seorang pengarang Melayu-Islam. Maka muncullah sub genre yang kita namakan sastera Islam. Akan tetapi sastera Islam sudah kini mendapat tempat yang sangat signifikan sehingga ia sinonim dengan sastera kebangsaan.

Saya masih ingat ketika mengganti mengajar Profesor Madya Dr Mawar Shafie untuk sebuah kuliahnya di Universiti Kebangsaan Malaysia beberapa tahun lalu. Saya meminta pelajar yang membaca karya sastera mengangkat tangan. Saya menapis seorang demi seorang dan seorang pelajar berketurunan India memberitahu bahawa dia tidak membaca sastera Melayu.

Kenapa?

“Kerana saya rasa tidak selesa membaca karya yang penuh dengan sarana dakwah, ayat-ayat al-Quran, hadis Nabi dan istilah bahasa Arab yang diMelayukan dan dikebangsaankan. Bagaimanakah rasanya jika orang Melayu yang katakan menetap di India harus membaca teks-tes sastera wajib di sekolah yang penuh dengan elemen kehinduan? Keluarkan Islam dari sastera kebangsaan.”

Saya memang terkesima. Sejak itu saya menanggalkan syiar dari karya sastera tulisan saya. Saya menekankan inti ajaran Islam yang saya yakin lebih sejagat sifatnya. Jadi saya menulis Bagaimana Anyss Naik Ke Langit, yang mana ia adalah mengenai pembalakan dan kesannya terhadap orang natif Penan, serta kes rogol sistematik terhadap wanita Penan. Juga novel Profesor mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan hidup seharian golongan LGBT. Saya menyesali menulis antara lain Tuhan Manusia, tetapi saya tidak dapat pulang ke masa lalu untuk membetulkannya. Saya harus menggunakan kesempatan masa hadapan yang masih ada sedikit.

Masalah sastera Islam ini lebih sengit menurut saya kerana salah satu fungsi, tuntutan dan kriteria utama sastera Islam ialah untuk mengajak yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran. Soalnya ketika Malaysia dilanda rasuah dan skandal kewangan yang sedemikian busuk di bawah bekan PM, Najib Razak, di manakah pengarang sastera Islam kita untuk mencegah kemungkaran. Hampir tidak kedengaran.

Sastera Islam kekal dalam cinta kopiah dan kasih jilbab dan dihias sapaan salam, astaga, basmalah dan acah seks yang penuh kias-rimas.

Sastera Islam tidak membincangkan hal mungkar seperti feudalisme negatif, tidak berbicara wacana Islam yang rencam, persoalan sektarianisme, tidak juga merungkai tema hak asasi manusia.

Sastera Islam tenggelam dalam zikrullah dan kefanaan sehingga bertemu Tuhan, dan tidak turun ke bumi.

Dewan Bahasa dan Pustaka dan Dunia Terjemahan

Adalah mudah menyalahkan dua masalah di atas kepada Dewan Bahasa dan Pustaka selaku agensi atau badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam isu bahasa dan sastera. Akan tetapi hakikatnya, itulah antara kegagalan yang entah bagaimana untuk kita baiki.

Gejolak ini juga dirumitkan kerana kekontangan kita dalam arena terjemahan.

Bukan sahaja kita tidak menerjemah karya besar luar negara ke bahasa kita dengan saksama dan segera, kita juga tidak menerjemahkan karya kita bersungguh-sungguh dan mencari jalan memasarkannya. Kita syok sendiri yang karya kita diterjemah ITBM dan dijual seratus dua naskah di kononnya pesta buku antarabangsa yang kita hadiri saban tahun untuk lebih bersiar-siar.

Kita malah lebih malang tidak pun menerjemah karya Sastera Mahua, atau sastera Tamil atau karya sastera Inggeris tulisan Bernice Chauly atau Dina Zaman misalnya ke dalam bahasa kebangsaan, atau bahasa Melayu. Hei, mereka juga orang Malaysia!

Akibatnya kita tidak mengenal. Kita payah mengenal. Kita tidak mahu mengenal. Kita terbenam dalam diri sendiri. Kita hanya melihat – diri – sendiri.

Inilah masalah kita. Saya sudah berjujur dari awal, saya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Saya benar-benar tidak tahu. Ini bukan masalah untuk saya seorang fikirkan.

Akan tetapi saya bimbang, ia tidak akan diselesaikan, dan akan mewabak sehingga 60 tahun lagi. Sastera harus jadi jambatan perpaduan. Sastera Malaysia hari ini bagaimanapun, seperti saya sebutkan adalah sastera sendiri-sendiri.

Atau lebih dahsyat, ia tidak dianggap sebagai masalah; kerana ya, kenapa mesti ia masalah? Sedangkan kita memang bahagia mahu hidup asing-asing dan buat hal sendiri-sendiri.

Akan tetapi inikah Malaysia Baharu yang kita ingini?


Faisal Tehrani adalah nama pena Faizal Musa, seorang rakan di Institusi Dunia dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia. Baca wawancara Faisal Tehrani dengan ArtsEquator.

Faisal Tehrani. 2014. Bagaimana Anyss Naik Ke Langit. DuBook Press. Selangor.

Faisal Tehrani. 2017. Professor. Buku Fixi. Petaling Jaya.

Faisal Tehrani. 2007. Tuhan Manusia. Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

(Visited 14 times today)
Comments: 1

Your email address will not be published. Required fields are marked with *