1
Moka Mocha Ink

“Teater Normcore: Stereo Genmai” dan Pengkarya yang Bertengkar dengan Idea

Dan pertengkaran ini berlaku di dalam ruang yang meyakinkan. Dengan ambiens pekat kemimpian yang mengujakan – sangat mengujakan. Malah siapa lagi yang benar-benar mampu mentafsir kontinuum idea-mimpi ini melainkan Ridhwan Saidi sendiri? Saya masih teringat-ingat – dan teruja – dengan set dan prop yang direka dan diguna dengan sangat bijak dalam memaknai drama-drama pendek tulisannya yang dipersembahkan dalam set ketiga Teater Modular1 yang lalu.

Teater Normcore: Stereo Genmai tulisan dan arahan Ridhwan Saidi ini ialah yang kedua sesudah Teater Normcore: Double Bill2. Teater dua babak ini merupakan adaptasi daripada novel keempat tulisannya, Stereo Genmai yang terbit pada 2012. Buat mereka yang sudah membaca naskhah ini, tentulah telah menyimpan beberapa jangkaan ke dalam poket masing-masing sebelum masuk ke dalam KOTAK @ Five Arts Centre pada mana-mana pementasan yang berlangsung dari 19 hingga 21 Oktober 2018 yang lalu. Ketepikan jangkaan-jangkaan ini, kerana apalah nikmat sebuah adaptasi jika tidak menawarkan sesuatu yang lain?

Pulang Ke Perigi Idea-Mimpi

Yang ditimba dan dibiarkan bertakung hanya esensi naratifnya: seorang novelis yang mencari watak ciptaannya yang hilang di kontinuum idea-mimpi. Memetik serpihan monolog Flores Chin (diterangkan Sandee Chew dengan nada eseistiknya), “… Kontinuum itu seperti perigi, mempunyai dasar. Di bahagian atas idea-ideanya mudah diakses. Mereka yang ambil apa yang ada di permukaan, hasilnya… idea yang serupa. Ada yang menyelam dalam dan ada yang tidak dalam, suam-suam kuku … Tidak ramai mampu menyelam hingga ke dasar. Mereka yang terpilih ini, menghasilkan magik sebenar, apa yang kita panggil Seni – Art.

Ridhwan telah (membawa audiens) pulang kembali ke perigi idea-mimpi seperti yang telah digarapnya dalam novel Stereo Genmai. Malahan lebih dalam dan dalam lagi hingga ke dasar. (Adakah dasar yang sama di mana Ovid menemukan mitos Pygmalion yang mencintai hasil karyanya sebelum diungkap dalam Metamorphoses? Atau di mana Luigi Pirandello membawa pulang beberapa watak-tidak-siapnya untuk dipersembahkan dalam Six Characters in Search of an Author?) Barangkali dari dasar itu werk adaptasi ini menjadi lebih segar – deras dengan nafas puitis lagi sinematik.

Foto: Moka Mocha Ink

Lakonan Ani Aziz sebagai novelis K.M. Raslan dibawa dengan baik sekali sehinggakan kita dapat rasa sesak-resahnya sewaktu terperangkap di dalam kontinuum idea-mimpi; berlari dari hujung ke hujung pentas sebelum terhantuk pada dinding halimunan (dinding keempat) yang telah pun memisahkannya dengan audiens, sedangkan dia hadir dari ruang audiens di awal performans sebagai sebahagian daripada realiti (atau bertitik tolak daripada realiti Ridhwan sendiri?)

Pertengkaran pengkarya dan idea mula didengar di ruang ini. Ruang klaustrofobik yang menekan K.M. Raslan untuk terus mencari. Sebetulnya audiens dihadapkan dengan proses penciptaan karya yang terbantut; buntulis (writer’s block) yang dihadapi oleh pengarang ketika menulis. Konflik inilah selanjutnya menolak D. (Hannan Barakbah), watak-tidak-siap ciptaan K.M. Raslan untuk keluar dari ruang pentas – dunia banal dengan malam dan hujan berpanjangan – ke ruang audiens, menjadi realiti baharu baginya.

Kertas Ke Pentas: Membaca Performans?

Apa lagi yang paling dekat dengan pengarang dan pembaca selain kertas? Deretan gulungan kertas yang digantung berjurai menjadi elemen paling ketara pada set pementasan, bukan semata-mata sebagai tirai latar kosong untuk dipancarkan visual projektor (baik filem yang ditonton mereka di pawagam, teks telefon bimbit sewaktu K.M. Raslan berhubung dengan D., lenggok lidah api, mahupun wajah kolosal D.), tetapi menebalkan kualiti kekertasan di mana ada performans untuk dibaca. Juga dengan cahaya kita dapat membaca. Penggunaan kertas dan lampu neon memberi kedalaman dimensi kepada ruang pementasan ini. Pujian harus diberikan kepada Ilham Sani (jika Ridhwan boleh perkenalkan artis ini kepada kita) selaku pereka set.

Momen yang begitu mempesona bila pertama kali audiens diperkenalkan dengan watak Flores Chin. Tatkala Delia (Nyna Roslan) perlahan-lahan mengoyak beberapa juraian kertas seraya cahaya yang dihidupkan mendedah ruang lain di balik sana, mendedah sosok berkebaya Flores Chin yang sedang duduk dengan balang berisi bebola mata di atas meja.

Neon pula sebagai garis cahaya yang memisahkan realiti (ruang audiens) dengan fiksyen (ruang pementasan). Ia jelas bilamana performans bermula dengan gerak K.M. Raslan dari ruang audiens, masuk ke ruang pementasan. Pergerakan pelakon dari suatu ruang ke ruang yang lain secara tidak langsung membolehkan kita membaca gerak, memahami alami watak. Misalnya di awal performans sewaktu D. masih di ruang pementasan, kita sedar D. ‘bercakap’ (hanya gerakkan mulut) dengan suara orang lain. Adakah watak rekaan tidak punyai suara sendiri? Berbalik kepada dialog watak dalam novel yang sedang dibaca: bukankah suara pembaca atau pengarang sahaja yang didengar? Hanya setelah D. keluar ke ruang audiens, dia mampu berkata-kata dengan suara sendiri, malah ditinggikan lagi nadanya dengan pelaung suara. Adegan-adegan berikutnya memperlihat dirinya yang sering melintasi garis cahaya ini, kerana kita pun tidak tahu sama ada K.M. Raslan sedang bermimpi atau mencari idea. Ruang-ruang ini yang saling bertembung dan bertengkar dalam kesamarannya.

Penggunaan ruang yang bijak dalam memaknai performans Teater Normcore: Stereo Genmai ini barangkali cetusan daripada fikirasa Ridhwan yang hadir dari lapangan senibina, menjadi kekuatannya dalam menanggap dan memainkan ruang. Ridhwan dalam sebuah temubual juga pernah mengatakan, “Dengan teater, saya mencintai sastera yang akan mengembalikan ingatan saya semula kepada arsitektur.”

Foto: Moka Mocha Ink

Api Novel Belum Terpadam

Saya ada beritahu Ridhwan tentang api ini dalam sesi bual santai pascapersembahan. Ketika membaca novel Stereo Genmai beberapa tahun lalu, bahagian-bahagian yang merincikan kebakaran tergambar hangatnya. Dalam performans ini pula, dek pencahayaan birungu, apinya terasa dingin. Dan kedinginan ini berbalik kepada ruang-ruang tadi.

Dari sisi D., ruang ini – seperti apa yang diutarakan Plato dalam Meno – seakan alam azali yang digentayangi jiwa-jiwa yang belum dilahirkan (kerana watak ini masih belum siap, belum dilahirkan ke dalam karya yang sudah selesai) tetapi telah dibekal dengan idea bagi setiap jiwa. Manakala dari sisi K.M. Raslan pula, ruang yang memerangkapnya ini menjadi alegori sebuah purgatori. Seolah suatu penyeksaan buat pengkarya yang tidak mampu mengerjakan karyanya kerana pertengkaran yang tidak berkesudahan dengan idea. Performans ini mencuit pengkarya sekali gus menerbit empati audiens terhadap pengkarya dan proses pengkaryaannya. Tetapi di sela-sela kesakitan ini, ada juga adegan-adegan komikal yang merekahkan tawa. Persis parut yang ditutup sementara dengan selapis harapan pada setiap adegan K.M. Raslan dan Delia yang bernada chick lit lewat lagu “Bersamaku” nyanyian Raja Ema; cinta monyet yang ingin lepas bebas dari pagar sekolah.

Adaptasi ini tidak seperti novel di mana kedua-dua latarnya – gedung beli-belah dan sekolah – konkrit (boleh jadi dalam erti kata sebenar) yang hanya dibentuk dengan teks. Saya melihat latar bagi adaptasi ini lebih abstrak walaupun ruang-ruangnya fizikal di depan mata (gedung beli-belah dan sekolah dicairkan meski masih mengalir dalam dialog).

Kerja-kerja teknikal yang harus dipuji buat Yunorosid dan Fara Kafli atas pencahayaan birungu tadi dan mengisinya dengan muzik rekaan Joni Atari yang enigmatik. Mewujudkan atmosfera di-luar-dunia. Lenggok lidah api dan futej-futej membakar – dan membara – daripada filem Raden Mas (1959) yang dipancar pada juraian kertas menjadi ironi; tidak membakar tetapi mungkin membinasa jiwa K.M. Raslan yang sudah pun menjadi watak yang dimain-mainkan D. Dendam yang terlunas daripada: “Nafas kehidupan ini, apabila diri kita tidak disiapkan, untuk bertemu dunia, buat kita penuh rasa putus asa.

Yang Memperkaya Karya

Menurut produsernya, Nurul Aizam, mereka telah dianugerahkan geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk memfilemkan naskhah Stereo Genmai. Justeru medium teater dipilih sebagai laluan terbaik untuk melihat dahulu bagaimana teks daripada novel ini diaksi dan divisual, dihidupkan untuk bertemu dengan khalayak. Ridhwan yang sebelum ini turut mengadaptasi novel ketiganya, Mautopia untuk The New Play Project kendalian The Actor’s Studio sedikit sebanyak memecutkan langkah kreatifnya di laluan pengadaptasian ini, selain turut disokong oleh produser bersamanya, Tan Cher Kian; pengurus produksi, Amirul Rahman; dan barisan kru Kaos Nol.

Foto: Moka Mocha Ink

Dan Teater Normcore: Stereo Genmai ini menyerlahkan kesegarannya. Ada gestur dan gerak tubuh (tiada dalam novel) yang sangat berkesan dan bermakna. Antaranya bilamana K.M. Raslan menyusukan anak hasil perkahwinannya dengan Delia iaitu sebuah novel (ya, novel Stereo Genmai!) – sangat mengganggu tetapi sungguh memilukan. K.M. Raslan yang kini telah ditinggalkan Delia kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka ialah sebuah novel membuatkan kita simpati kepada watak malang ini. Adegan ini menjadi payoff kepada adegan awal sewaktu K.M. Raslan pertama kali berada di kontinuum idea-mimpi, sewaktu Flores Chin menumbuhkan payudara di tubuhnya (sesuatu yang tidak dapat diterima K.M. Raslan pada waktu ini). Tegasnya, “Ini benar-benar merosakkan akhlak,” tanpa menyedari resmi guru yang serba tahu. Malah telah diberi amaran awal-awal lagi oleh guru itu kepada Delia, “Kamu dari dunia ilham, dia dari dunia realiti. Anak kelahiran hasil kamu berdua ini akan menjadi sesuatu yang merosakkan akhlak.” Malahan hubungan guru-murid ini pada suatu takah, melangkau kepada hubungan ibu-anak:

FLORES CHIN

Hanya ini saja yang boleh cikgu beri. Biarlah anak murid kesayangan cikgu tinggalkan cikgu di sini berseorangan. Biarlah cikgu buta. Apalah guna boleh melihat jika orang yang kita sayang, anak didik bangsa yang kita gilap, memilih jalan cinta, dan bukan ilmu.

 DELIA terima mata pemberian FLORES CHIN.

Kata-kata guru tidak pernah sesayu ini. Keluh-korban yang merentangkan perwatakan kedua-dua watak ini: Flores Chin mewakili intelek manakala Delia pula mewakili emosi; watak mengibu (untuk mengawal) dan watak khayalan (untuk dikawal) yang tenggelam-timbul dalam kolam pemikiran lelaki. Sejurus selepas itu, Flores Chin melafazkan puisi Nurse’s Song oleh William Blake dalam menyerlahkan keperibadiannya yang berlapang dada dengan kenaifan Delia. K.M. Raslan dan Delia keluar dari kontinuum idea-mimpi (sekurang-kurangnya itulah yang mereka percaya) untuk menjalani kehidupan bahagia sebagai pasangan suami-isteri.

Ke Penghujung Pertengkaran

Performans semakin intens ke penghujung terutama semasa konfrontasi K.M. Raslan dengan ketiga-tiga watak perempuan yang bukan sahaja mendedahkan hubungan erat-renggang pengarang-karya yang diregang dari dasar Freudian, malah naik ke teologi menerusi hubungan pencipta-ciptaannya. Penamatnya digerak untuk lari daripada novel: yang akan kekal diingat sebaik sahaja D. duduk sebentar di atas postur separa sujud K.M. Raslan (seakan suatu kemenangan dek peralihan kekuasaan untuk mencipta) sebelum berlalu pergi ke arah audiens (realiti kekalnya) dan K.M. Raslan yang masih pegun di atas karpet (Ya, di saat-saat akhir ini dia masih berkiblatkan realiti dengan menunduk ke arah ruang audiens. Hanya pada momen ini saya tersedar yang ruang neon ini persis mihrab di dalam masjid di mana imam memimpin sembahyang; ruang menghadap Kebenaran?) lantas direntap oleh Flores Chin dan Delia dari belakang, masuk ke dalam fiksyen buat selama-lamanya.

Sepanjang pertengkaran pengkarya dengan idea ini, mujurlah werk yang dipersembahkan kepada kita sudah siap selesai. Tetapi benarkah pertengkaran terhenti di sini?

1 Set ketiga Teater Modular telah berlangsung di KongsiKL, Gudang Yee Seng 2 pada 4-8 April 2018.

2 Teater Normcore: Double Bill dengan pementasan dua teater sebabak, “Tiada Cinta Selama Muda” dan “Matinya Seorang Birokrat”, dan telah dipentaskan di RAW Art Space pada 9-11 Februari 2018.

About the author(s)

Azrin Fauzi menulis esei sekitar seni, sastera, sinema, dan senibina yang tersiar dalam beberapa media: Dewan Sastera, SelangorKini, Svara, Kerja Tangan, KL Reviu, etsetera etsetera. Penerima Hadiah Sastera Selangor 2017 (kategori Cerpen), 2018 (Esei), dan 2019 (Cerpen). Pada tahun 2019, dia telah menjadi kurator bersama bagi Pesta Playlet, anjuran Ensembel Teater Kaos Nol; dan turut terpilih untuk mewakili Malaysia sebagai peserta dalam Program Penulisan MASTERA: Esai di Bandung, Indonesia, anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Juga fiksyenis tiga buku cerpen: Urban (2015), Metaskandal (2018), dan Amok-Imago (2022).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top